Zakat fitrah: Sudahkah anda tunaikan kewajipan? Ini faedah dan hikmahnya

Secara jelas, peranan zakat itu sendiri dapat menyempurnakan institusi sesebuah anggota masyarakat. – Gambar hiasan

ESOK kita bakal menyambut hari raya Aidilfitri.

Ini bermakna, umat Islam hanya ada waktu sehingga pagi esok sebelum solat sunat Aidilfitri untuk melaksanakan kewajipan membayar zakat fitrah.

Berdasarkan mazhab Imam Syafie, waktu wajib zakat fitrah bermula dengan tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan (malam raya).

Manakala, waktu sunat pula adalah sebelum solat Hari Raya dan makruh jika menangguhkannya sehingga selesai solat tersebut.

Zakat fitrah merupakan zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan di bulan Ramadan bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia.

Namun, apakah hikmah yang dapat kita pelajari daripada kewajipan ibadah ini?

Berikut adalah beberapa faedah dan hikmah yang bakal diperoleh seseorang pembayar zakat.

Membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil

Memetik artikel dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, selain menjadikan individu dididik dengan sifat pemurah dan suka mengerjakan ibadah qurban, amalan berzakat boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil dalam diri seseorang.

Hakikat ini dapat dirasai oleh pengeluar zakat itu sendiri.

Ini kerana, dia juga akan menyedari bahawa zakat itu lebih ketara kepada penambahan harta.

Sikap memberi bukannya bermakna harta semakin berkurang.

Menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang

Umum mengetahui bahawa sikap memberi itu dapat memupuk kasih sayang antara pemberi dan penerima.

Begitu juga dengan ibadah zakat kerana ia mampu menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain.

Apabila kesedaran ini wujud dalam masyarakat, setiap orang Islam mampu menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat kepada golongan yang berhak menerimanya.

Mengutuhkan institusi sesebuah anggota masyarakat

Zakat berfungsi memelihara masyarakat daripada wujudnya jurang perbezaan taraf sosial yang ketara.

Biarpun begitu, perlu difahami bahawa terdapat pelbagai keadaan dan unsur-unsur yang memperluaskan jurang perbezaan taraf sosial itu seperti bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan serta golongan fakir.

Secara jelas, peranan zakat itu sendiri dapat menyempurnakan institusi sesebuah anggota masyarakat itu.

Membantu menyelesaikan masalah pengangguran

Selain itu, zakat juga memainkan peranan penting dalam menangani masalah pengangguran.

Jika diteliti, isu pengangguran berpunca daripada kemiskinan. Orang yang miskin, umpamanya, tidak mempunyai modal yang minimum untuk menjalankan sesuatu perusahaan atau pekerjaan.

Maka, jika sistem zakat berjalan mengikut haknya, sudah tentu orang yang miskin berhak menerima bahagiannya dan membolehkan mereka menjalankan perusahaan yang dirancang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan yang ada pada mereka.

Membersihkan hati daripada sifat-sifat keji

Mengeluarkan zakat adalah salah satu cara untuk individu membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat seperti sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki.

Ini kerana, sifat keji tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat jika tiada lagi sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati.

Hikmah membersihkan jiwa daripada sifat keji ini juga telah dinyatakan oleh Al-Quran dalam surah al-Taubah ayat ke-103.

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”

Pembayaran zakat kini serba mudah dan canggih. Susulan penularan wabak COVID-19, pelaksanaannya pula sudah mengikuti normal baharu yang tidak memerlukan seorang pembayar zakat untuk berjumpa depan-depan dengan wakil amil (pengutip zakat).

Sebaliknya, dengan kemudahan teknologi, zakat kini boleh ditunaikan secara dalam talian.

BACA: Mahu tunaikan zakat secara dalam talian? Ini pautan penting untuk anda

BACA: Normal Baharu: Tiada amil dilantik, bayar zakat secara dalam talian di Sabah