Tindakan Tun Mahathir suarakan bagi pihak rakyat adalah tepat – Armada

Armada dalam satu kenyataan pada Sabtu, berpendapat bahawa kenyataan Tun Dr Mahathir adalah tepat memandangkan ini adalah kes yang sangat sensitif dan mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia. – Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyuarakan bagi pihak rakyat dalam mempersoalkan mengenai pelepasan tanpa pembebasan Riza Aziz adalah tepat, tegas Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Armada dalam satu kenyataan pada Sabtu, berpendapat bahawa kenyataan Tun Dr Mahathir adalah tepat memandangkan ini adalah kes yang melibatkan anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu sangat sensitif dan mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia.

“Kerajaan Malaysia terutamanya Jabatan Peguam Negara harus menyatakan mengapa mereka bersetuju dan berpuas hati dengan hanya menerima RM465.3 juta daripada jumlah penuh yang dituduh iaitu RM1.25 billion.

“Kes ini bertambah pelik apabila bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menolak dakwaan SPRM dan menegaskan bukan beliau yang mempertimbangkan dan mempersetujui tawaran menerima semula aset bernilai RM465.3 juta,” tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu menyusul selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, mewakili kerajaan berharap Dr Mahathir tidak bersikap hipokrit dengan mengatakan beliau tertanya-tanya dan tidak faham dengan keputusan mahkamah memberikan pelepasan tanpa pembebasan terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz.

Armada berpendapat kenyataan Datuk Takiyuddin bahawa perkara ini adalah 'tindakan mengikut undang-undang' adalah sangat tidak murni terutama sekali apabila rakyat mula membandingkan dengan kes-kes lain.

Justeru, Armada berharap menteri yang bertanggungjawab dalam hal undang-undang untuk menerangkan menggunakan prinsip perundangan dan tidak terlalu mempertahankan diri apabila soalan itu bukan hanya datang dari Dr Mahathir tetapi juga dari jutaan rakyat Malaysia.