Tiga beradik dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu

Sebahagian daripada anggota pasukan bersama yang menjalankan tugas mencari dan menyelamat di lokasi kejadian. – JBPM

HULU TERENGGANU: Kegembiraan tiga beradik bermandi-manda di Sungai Terengganu, Kampung Kuala Telemong pada Syawal keempat bertukar tragedi selepas kesemua mereka dikhuatiri lemas.

Ketiga-tiga mangsa dikatakan berkunjung ke sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka kira-kira jam 6 petang Rabu.

Mangsa dikenali sebagai Umar Iskandar Mohd, 21 tahun, Khairil Firdaus, 17 tahun, dan seorang lagi adik mereka Khalif Naim, 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, insiden itu disedari empat pemancing yang berada di seberang sungai selepas mendengar suara meminta tolong.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kesemua mangsa telah hilang sebelum pemancing itu memaklumkan kepada penduduk kampung.

"Kejadian ini mula disedari pada jam 6 30 petang tadi di mana empat orang pemancing yang sedang memancing di seberang sungai di tempat kejadian telah nampak tiga orang remaja sedang mandi-manda di sungai ini.

"Tidak lama kemudian, pemancing tersebut mendengar jeritan suara meminta tolong daripada salah seorang mangsa yang berada di sungai ini dan kumpulan pemancing tadi telah menaiki motosikal menaiki jambatan dan terus ke lokasi ini. Dalam 10 minit mereka sampai, didapati ketiga-tiga mangsa telah hilang," ujar Mohd Adli.

Tambahnya, seramai 41 kekuatan anggota melibatkan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melancarkan operasi pencarian sejurus menerima maklumat.

Jelasnya, operasi pada Rabu malam melibatkan pencarian di permukaan serta di sekitar tebing sungai.

Menurut Mohd Adli hasil pengecaman oleh bapa mangsa telah mengesahkan beberapa barang yang ditemui termasuk pakaian, selipar dan telefon, adalah milik anaknya.