TEKUN Nasional buka enam cawangan baharu di pedalaman Sarawak

Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional mewujudkan enam pejabat cawangan di kawasan pedalaman Sarawak. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional mewujudkan enam pejabat cawangan di kawasan pedalaman Sarawak.

Cawangan itu ialah kawasan Lundu, Serian, Sibuti, Sebuyau, Daro dan Kanowit.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembukaan enam lagi cawangan TEKUN Nasional itu adalah bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada usahawan di kawasan berkenaan.

"Oleh yang demikian, jumlah terkini pejabat TEKUN Nasional di Sarawak setakat ini berjumlah 22 termasuk dengan pembukaan enam cawangan baru ini.

"Dengan adanya bantuan TEKUN Nasional, usaha kerajaan ini boleh meringankan beban para pengusaha terutama usahawan mikro, industri kecil dan sederhana (IKS) dalam memajukan perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan di sini.

Wan Junaidi turut berharap para usahawan yang memperoleh pinjaman itu kekal berdaya saing, jujur dan progresif selaras dengan matlamat untuk melahirkan usahawan bumiputera berjaya.

Sehingga 29 Februari 2020, sejumlah 33,402 usahawan di Sarawak telah mendapatkan pinjaman daripada TEKUN Nasional dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM322.2 juta.