Sudahlah langgar PKPB, lumba haram pula… 108 disaman

Polis mengeluarkan 108 saman atas pelbagai kesalahan dan turut menyita empat buah motosikal. – Foto Astro AWANI

YAN: Sudahlah melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekumpulan penunggang motosikal bertindak lebih berani dengan berlumba haram di Yan, Kedah.

Akhirnya, padah menimpa apabila Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Yan bertindak menyerbu lokasi perlumbaan mereka di Jalan Baru Pulau Bunting-Ulu Sedaka pada lewat petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, polis mengeluarkan 108 saman atas pelbagai kesalahan dan turut menyita empat buah motosikal.

“Motosikal itu disita kerana kesalahan mengubah suai berlebihan dan tidak selamat ditunggang di jalan raya. Polis menyita kenderaan itu mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tambah beliau, daripada 108 saman dikeluarkan dalam Ops Samseng Jalanan yang bermula jam 5 petang sehingga 9 malam itu, empat saman membabitkan individu bawah umur.

“Selain itu, antara kesalahan yang paling banyak dikesan ialah tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, nombor plat 'fancy' dan juga ubah suai kenderaan,” katanya.

Shahnaz berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Tambah beliau, mereka yang terlibat turut berhadapan tindakan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Saya ingin mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak terutama ketika negara masih dilanda wabak COVID-19,” katanya.