SOP dipertingkat pastikan keselamatan anggota ketika bertugas – Polis Kota Setar

Mohd Rozi berkata pematuhan SOP perlu menitikberatkan jarak selamat dan lokasi tidak tersorok dan mudah dilihat. -Astro AWANI

ALOR SETAR: Keselamatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika penugasan, terutamanya dalam operasi sekatan jalan raya, perlu dipertingkat.

Demikian tegas Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin yang tidak mahu anggotanya cedera ketika Op COVID sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jelasnya, memasuki fasa selepas Aidilfitri, pihaknya kini terarah kepada memastikan peningkatan tahap keselamatan anggota yang bertugas.

Ia susulan kejadian anggota polis dilanggar ketika operasi sekatan jalan raya yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Untuk itu, Mohd Rozi berkata pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu menitikberatkan jarak selamat dan lokasi tidak tersorok dan mudah dilihat pada jarak jauh.

"Memastikan keselamatan pasukan kita sendiri yang mana mengambil iktibar daripada kes-kes anggota jalan raya dilanggar, anggota keselamatan jalan raya terlibat kemalangan, dan sebagainya.

"Untuk Daerah Kota Setar ini, kita mengadakan sekatan, membuat lencongan dengan jarak yang boleh dilihat dan selamat.

"Sekatan itu dibuat di kawasan zon yang mudah dilihat pergerakan, selain pencahayaan dan juga penggunaan ves pantulan cahaya pada waktu malam.

"Ia untuk memastikan tiada lagi insiden kemalangan yang melibatkan anggota kita dan juga keselamatan orang ramai," katanya.

Terdahulu, Mohd Rozi yang meninjau tujuh lokasi sekatan jalan raya di daerah ini menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anggota bertugas.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya telah melakukan pemeriksaan di 200 buah rumah sekitar daerah Kota Setar hasil laporan orang awam dan juga risikan.

Hasil tinjauan mendapati tidak terdapat individu yang melakukan rentas sempadan untuk pulang ke kampung halaman untuk beraya.

Jelasnya, ini menunjukkan kepatuhan rakyat dalam memastikan rantaian COVID-19 ini dapat diputuskan adalah amat tinggi.

Sehingga hari ini tiada kes pesakit baru dicatat di Kota Setar.

Beliau turut menyeru masyarakat agar terus duduk di rumah dan menjaga kesihatan masing-masing.