Sokong penuh siapa sahaja MB baharu Kedah – Pemuda UMNO

Syed Mohd Johan yakin perkembangan terbaharu situasi politik negeri Kedah memastikan keadaan tempang itu dimurnikan. – Gambar hiasan

ALOR SETAR: Hari ini dijangka berlaku perubahan dalam tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah yang bakal diambil alih Perikatan Nasional (PN).

Perkembangan ini dianggap sesuatu yang baik dan dialu-alukan rakyat.

Ini kerana, menurut Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, keadaan negeri ini ketika ini, sedikit tempang.

Ia susulan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional, tetapi menganggap kerajaan negeri itu susulan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, perkembangan terbaharu situasi politik negeri Kedah memastikan keadaan tempang itu dimurnikan, selain beliau melahirkan keyakinan kerajaan negeri itu akan menjadi kerajaan PN.

Jelasnya, siapapun yang bakal menerajui barisan hadapan pentadbiran negeri haruslah bekerja keras untuk memastikan kestabilan politik dan ekonomi negeri kembali ke landasan betul.

"Perkara paling penting dan utama yang beliau perlu lihat adalah bagaimana untuk kerajaan negeri mengimbangi antara kemajuan dan keperluan serta kebajikan rakyat," jelasnya.

Katanya, ini termasuk cabaran mendepani pandemik COVID-19 ketika ini selain pasca pandemik yang perlu dilaksanakan dengan teliti dan teratur dengan mengambil kira pelbagai faktor.

"Saya lihat kesan pasca COVID-19 ini juga amat-amat akan menjadi lebih teruk. Sekarang pun saya sudah dengar isu-isu seperti hilang pekerjaan dan sebagainya. 

"Oleh itu, isu-isu berkaitan pasca COVID-19 ini perlu diambil perhatian segera oleh kepimpinan baharu yang bakal dilantik nanti," kata Syed Mohd Johan.

Kemelut politik negeri Kedah bergolak selepas 19 daripada 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Mereka merangkumi 15 ADUN Pas, dua UMNO dan dua lagi ADUN PKR yang mengumumkan keluar parti, iaitu Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam).