Selangor sedia penginapan percuma bagi petugas barisan hadapan

Amirudin berkata sebanyak 204 bilik disediakan di Hotel De Palma Ampang manakala 83 unit di Hotel De Palma Shah Alam. – Astro AWANI/Shahir Omar

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor menyediakan 287 bilik hotel secara percuma kepada petugas barisan hadapan yang berusaha membendung wabak COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 204 bilik disediakan di Hotel De Palma Ampang manakala 83 unit di Hotel De Palma Shah Alam bagi memenuhi keperluan berkenaan.

"Sebagai permulaan, kerajaan negeri Selangor terlebih dahulu bekerjasama dengan polis dan Angkatan Tentera Malaysia. Ini adalah hasil kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Penawaran ini akan diperluas kepada kelompok lain yang bersesuaian berdasarkan keperluan semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya juga telah bermesyuarat bersama Pegawai Kewangan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor bagi memperhalusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Kedua.

Amirudin berkata kerajaan negeri turut memperluaskan kerjasama dengan pihak hospital swasta yang bersetuju menerima kes bukan pesakit COVID-19 daripada hospital kerajaan.

"Ini hasil perbincangan awal melibatkan anak syarikat kerajaan negeri, SELGATE Corporation bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor," katanya.

— BERNAMA