Selangor perluas bantuan khas kepada peniaga dan penjaja kecil berlesen

AMIRUDIN: Manfaat bantuan khas ini terhad kepada peniaga dan penjaja kecil yang memegang lesen sah tahun ini dan diluluskan sehingga 20 Mac lepas. – Gambar fail

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersetuju meluaskan skop bantuan khas RM500 di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin COVID-19, kepada penjaja dan peniaga kecil berlesen yang menyewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian bantuan khas secara sekali bayar berkenaan, akan meliputi peniaga dan penjaja kecil berlesen bagi kategori pasar tani, kiosk, semua jenis gerai, medan selera, serta pasar awam.

"Mengambil kira perkembangan semasa, kerajaan negeri bersetuju meluaskan pemberian bantuan ini kepada peniaga serta penjaja kecil berlesen, yang menyewa premis PBT di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, UUK Pasar dan UUK Establisymen Makanan sahaja.

"Manfaat bantuan khas ini terhad kepada peniaga dan penjaja kecil yang memegang lesen sah tahun ini dan diluluskan sehingga 20 Mac lepas. Kerajaan negeri turut bersetuju agar tempoh permohonan bantuan khas dilanjutkan daripada hujung bulan ini ke 7 Jun depan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Pada 20 Mac lepas, kerajaan negeri dalam pengumuman pakej rangsangan prihatin pertamanya memperuntukkan RM40 juta, untuk menyalurkan pemberian khas RM500 secara sekali bayar kepada 80,000 peniaga dan penjaja kecil berlesen yang terjejas bagi melancarkan aliran tunai mereka.

Sebelum ini, golongan yang menerima bantuan khas itu tertakluk kepada UUK Penjaja sahaja.

Bantuan itu bertujuan mengurangkan bebanan ekonomi golongan terbabit yang terjejas semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

— BERNAMA