Selagi tiada kelulusan bebas COVID-19, rakyat Malaysia di Singapura tidak boleh pulang

ISMAIL: Ada wakil daripada Kementerian Sumber Manusia yang akan berunding dari segi syarat-syarat yang baharu ini. – Gambar fail

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak dibenarkan pulang ke tanah air selagi tidak mendapat kelulusan bebas jangkitan COVID-19 daripada kerajaan Singapura.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu harus membuat ujian saringan sebelum pulang ke negara ini.

“Itu merupakan perjanjian awal antara kerajaan kami dan Singapura. Sebelum rakyat Malaysia pulang, mereka perlu melakukan saringan.

“Mereka perlu menunjukkan surat bahawa mereka disahkan negatif COVID-19 selepas ujian saringan tersebut,” katanya dalam sidang media di di Putrajaya pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya terdapat sedikit perubahan dari segi syarat-syarat perjanjian tersebut.

“Kami telah meminta Kementerian Luar di mana mereka ada “working groups” antara Kementerian Luar Malaysia dengan Singapura.

“Ada wakil daripada Kementerian Sumber Manusia yang akan berunding dari segi syarat-syarat yang baharu ini.

“Pastinya pada mesyuarat pagi esok, Kementerian Luar akan memaklumkan kepada kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata jumlah tangkapan yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat pada Ahad berbanding pada hari sebelumnya.

Katanya seramai 554 individu ditahan di sekatan jalan raya dan rondaan oleh pihak polis dan sekali gus menyumbang kepada peningkatan sebanyak 51 peratus.