Pusat kuarantin di MAEPS terima pesakit COVID-19 minggu depan

Persediaan pusat berkenaan telah mencecah 95 peratus. – Bernama

KUALA LUMPUR: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di Serdang, dijangka menerima pesakit minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mardi Corp, Zaidi Shahrim, berkata, persediaan pusat berkenaan telah mencecah 95 peratus dan kemungkinan pusat itu dibuka sebelum Ahad ini.

"MAEPS akan terima pesakit COVID-19 yang berisiko rendah dari sekitar Lembah Klang, Melaka dan beberapa kawasan di Perak," katanya ketika ditemu bual menerusi aplikasi Skype yang bersiaran secara langsung di 'Bernama 7.45', pada Khamis.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang proses menukar 'wajah' MAEPS kepada pusat kuarantin dalam masa singkat, beliau berkata kesukarannya adalah untuk mendapatkan bahan bekalan daripada kontraktor kerana banyak pihak 'terikat' dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita terima arahan ketika fasa pertama PKP tetapi Alhamdulillah, dengan kerjasama erat daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), bomba, dan lain-lain syarikat, kita dapat merealisasikannya dalam masa empat hari ini," tambahnya.

Beliau juga berkata fasiliti yang disediakan di MAEPS sama seperti kemudahan di hospital iaitu katil, ruang mandi, bilik persalinan, tandas, ruang istirahat dan sebagainya.

Antara perkhidmatan yang disediakan di pusat itu ialah perkhidmatan klinikal, wad untuk pesakit COVID-19, ruang resusitasi untuk menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, perkhidmatan ambulans, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan X-ray, dan perkhidmatan makmal patologi.

Pusat kuarantin sementara itu mampu menempatkan sehingga 600 pesakit pada satu-satu masa dan ia diselaraskan oleh Nadma dengan kerjasama KKM, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Raya.

— BERNAMA