Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di MAEPS Serdang dikawal rapi – Polis

Pada 23 April lepas, pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 di MAEPS, Serdang mula menerima pesakit kategori tidak bergejala dari sekitar Lembah Klang sebelum digunakan untuk merawat pendatang tanpa izin. – Gambar fail

SERDANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat kawalan dan memasang pagar kawat duri di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bagi mengelakkan pendatang tanpa izin yang ditempatkan di situ melarikan diri.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata seramai 74 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditugaskan untuk mengawal selia pusat kuarantin berkenaan.

Beliau berkata kawalan rapi oleh pihak berkuasa disokong dengan pemasangan kawat duri yang dipasang semalam di blok pusat kuarantin terlibat untuk pendatang tanpa izin positif COVID-19.

“Ia adalah bagi untuk pastikan mereka (pendatang tanpa izin) ini agar tidak melarikan diri daripada saringan COVID-19 dan kawalan berkenaan turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Setakat ini, belum ada cubaan (pendatang tanpa izin) untuk meloloskan diri dan mereka ini di dalam pusat kuarantin dijaga jururawat dan anggota Imigresen," katanya kepada Bernama pada Selasa.

BACA: COVID-19: 12 pesakit mula dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan MAEPS Serdang 

Noor Azam berkata adalah sukar untuk polis mengesan pendatang tanpa izin yang positif COVID-19 ini semula sekiranya mereka berjaya meloloskan diri dari pusat kuarantin.

"Sekiranya ada yang positif  COVID-19 susah hendak mengesan jikalau mereka melarikan diri maka lebih baik kita ambil langkah waspada awal-awal," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pendatang tanpa izin di pusat tahanan lain yang didapati positif, dibawa ke pusat kuarantin di MAEPS untuk tindakan selanjutnya.

"Sebelum ini, pusat kuarantin itu digunakan oleh rakyat tempatan yang positif COVID-19 dan mereka (rakyat tempatan) telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh kerana telah kurang kes,” katanya.

Pada 23 April lepas, pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 di MAEPS, Serdang mula menerima pesakit kategori tidak bergejala dari sekitar Lembah Klang sebelum digunakan untuk merawat pendatang tanpa izin.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat kuarantin berkenaan mendapati petugas media juga dilarang memasuki dan membuat liputan di situ.

Pada Isnin, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pusat kuarantin berkenaan hanya menempatkan pendatang tanpa izin yang dikesan positif COVID-19.

Menurutnya, kawalan ketat sedemikian terpaksa dilaksanakan memandangkan terdapat kekhuatiran pendatang tanpa izin terbabit mengambil kesempatan melarikan diri ketika dikuarantin disebabkan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap.

— BERNAMA