Proton hasilkan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan

Proton akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan mengedarkan peralatan itu secara percuma mengikut tahap keperluan di setiap daerah.

KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd akan menghasilkan pelindung muka iaitu komponen penting bagi Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan sektor penjagaan kesihatan.

Operasi pengeluaran yang melibatkan kakitangan Proton itu dijangka bermula pada 13 April ini di ibu pejabatnya di Shah Alam.

Syarikat itu menyasarkan penghasilan 60,000 pelindung muka dalam masa 20 hari.

"Sebagai jenama automotif kebangsaan, usaha Proton ini didorong oleh tanggungjawab untuk membangunkan industri kereta tempatan dan menyokong negara dan rakyat sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan.

"Syarikat mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kereta. Oleh itu, kami menggunakan kelebihan itu untuk menghasilkan peralatan PPE dalam usaha menyokong barisan hadapan negara membendung penyebaran COVID-19," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata pelindung muka itu akan dihantar secara berperingkat dan Proton akan bekerjasama dengan pihak kementerian untuk mengedarkan peralatan itu secara percuma mengikut tahap keperluan di setiap daerah.

Sebelum ini, syarikat itu meminjamkan 50 unit Proton X70 untuk kegunaan kakitangan Kementerian Kesihatan berikutan penularan COVID-19.

— BERNAMA