Prof Zakri Abdul Hamid dilantik duta kempen alam semula jadi

Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid telah dilantik menjadi duta dan penasihat sains Kempen Alam Semula Jadi. – Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid, telah dilantik menjadi duta dan penasihat sains Kempen Alam Semula Jadi, yang merupakan satu usaha kerjasama membabitkan Wyss Campaign for Nature dengan National Geographic Society.

Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dalam satu kenyataan memberitahu kerjasama itu merangkumi gabungan lebih daripada 100 pertubuhan konservasi di seluruh dunia bagi menyeru pembuat dasar agar komited kepada perjanjian yang berasaskan sains dan alam semula jadi.

Zakri, bekas pengerusi bersama MIGHT, sekarang ini, merupakan anggota bersekutu kanan dalam badan pemikir kerajaan itu,

Menurut MIGHT, kempen tersebut sangat penting berdasarkan kepada bukti bahawa pandemik global COVID-19 dan penyebaran penyakit berjangkit berasal daripada hidupan liar kepada manusia.

Laporan pada 2019 oleh 'Science Policy Platform on Biodiversity and Ecosystem Services on Biodiversity and Ecosystem Services' menunjukkan bahawa jangkitan ini mungkin diperburukkan lagi oleh aktiviti manusia seperti pembukaan tanah dan pencerobohan ke atas habitat haiwan liar.

Kempen Alam Semula Jadi menyeru pemimpin dunia untuk menzahirkan komitmen bagi melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus permukaan planet menjelang 2030, membantu menggerakkan sumber kewangan untuk memastikan kawasan perlindungan dilindungi serta diurus dengan betul, membuat pendekatan pemuliharaan biodiversiti dengan cara melibatkan serta menghormati kepemimpinan dan hak orang asli.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman berkata Zakri telah "memainkan peranan penting dalam tadbir urus sains Malaysia dan diiktiraf di seluruh dunia sebagai peneraju pemikiran sains yang terkemuka, terutamanya dalam pemuliharaan biodiversiti serta penggunaan lestari."

Sementara itu, Zakri berkata pengiktirafan itu bukan bersifat peribadi tetapi lebih bagaimana dunia melihat Malaysia menguruskan alam semula jadinya.

"Negara telah memainkan peranan yang membina dan proaktif dalam tadbir urus pembangunan kelestarian sejak Sidang Kemuncak Bumi 1992.

Sebagai salah satu daripada 17 buah negara yang terkaya dengan pelbagai bio di dunia, kita mempunyai tanggungjawab yang berat untuk memastikan bahawa kepelbagaian biologi ini dipelihara dan digunakan dengan cara yang mampan," katanya.

MIGHT adalah sebuah pertubuhan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang memainkan peranan utama dalam membangunkan teknologi tinggi untuk perniagaan di Malaysia melalui peranannya sebagai platform pemikir dan pembinaan konsensus awam-swasta serta juga sebagai platform memupuk perniagaan.

— BERNAMA