PKPD: Solidariti penduduk Sungai Lui, tampil hulur bantuan barangan keperluan

Ketua Kampung Batu 20, Mohd Ramdan Kamso, 56, antara individu yang tampil ke hadapan untuk menyalurkan bantuan. – Foto Astro AWANI/Fareez Azman

HULU LANGAT: Selepas hampir 24 jam Kampung Batu 21 hingga 23 di Hulu Langat dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pergerakan keluar masuk kenderaan dilihat terkawal.

Di sebalik usaha kerajaan terutamanya petugas barisan hadapan untuk membendung pandemik COVID-19 daripada terus merebak di kampung itu, ada juga wira yang tidak didendang tampil menghulurkan bantuan keperluan lain kepada penduduk kampung itu selain keperluan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Kampung Batu 20, Mohd Ramdan Kamso, 56, antara individu yang tampil ke hadapan untuk menyalurkan bantuan itu.

Jelasnya, meskipun terpaksa mengambil risiko tetapi matlamatnya memastikan sekurang-kurangnya bekalan barangan keperluan lain tidak terputus.

BACA: Arahan PKPD: "Kami tidak minta banyak" – Penduduk rayu keperluan asas

BACA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dikuat kuasa di Batu 21 – Batu 24 Sungai Lui

"Antaranya susu bayi, lampin pakai buang bayi, tuala wanita dan barangan lain lagi. Jabatan Kebajikan Masyarakat hantar barangan mentah sahaja seperti susu, sadin, beras, gula, tepung yang saya tengok semalam dari petang hingga jam dua pagi.

"Tetapi barangan lain turut terputus, jadi kami belikan barangan ini untuk penduduk di sana (Kg Batu 21), dana diberikan oleh Yang Berhormat kawasan ini. Selepas itu kami pun menggunakan duit Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk beli barang dan bantu mereka," katanya.

Tambahnya, barangan itu dihantar di kawasan sekatan jalanraya PKPD dan akan disampaikan ke keluarga yang memerlukan.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Hulu Langat di Kampung Sungai Lui, Batu 21 sehingga 23 itu melibatkan 3,918 orang termasuk dua perkampungan Orang Asli bermula 30 Mac sehingga 13 April.