PKPB: Kompaun bukan main-main

Anggota Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bersama Anggota TUDM membuat rondaan di sekitar perumahan di Kampung Padang Jawa Shah Alam pada hari kedua Aidilfitri bagi memastikan SOPP PKPB dipatuhi. –fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Prinsip 'pantang menyerah' sering memberi semangat positif kepada individu supaya tidak putus asa dalam apa jua yang dilakukan, namun situasi berbeza apabila prinsip itu dijadikan alasan bagi sesetengah pihak yang cuba melakukan pergerakan rentas negeri semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Meskipun sering diingatkan bahawa tindakan rentas negeri adalah satu kesalahan di bawah prosedur operasi standard (SOP) PKPB, namun masih ada pihak yang degil dan tetap cuba melakukannya walaupun berdepan dengan risiko kompaun bagi kesalahan itu.

Dalam sidang media semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik kerana cuba rentas negeri meningkat kepada 1,243 pada 24 Mei berbanding hari sebelumnya, selain 14 individu yang melakukan kesalahan itu dan berada di kampung untuk meraikan Aidilfitri turut dikenakan kompaun.

Ismail Sabri menarik perhatian ada dalam kalangan masyarakat yang tidak percaya apabila beliau mengatakan pihak polis akan membuat pemantauan ketika sambutan hari raya, bahkan yang sudah melepasi jalan tikus tetap akan dicari.

Aidilfitri adalah hari kemenangan buat umat Islam setelah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan, namun hari kemenangan untuk Malaysia bebas daripada COVID-19 belum tahu lagi bila masanya.

Justeru, semua pihak perlu kekal patuh SOP dan hentikan perkara yang dilarang seperti rentas negeri bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19, serta memastikan tiada kluster baharu yang akan wujud akibat tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Semalam, 172 kes positif baharu COVID-19 di Malaysia direkodkan dengan majoriti daripadanya membabitkan pendatang tanpa izin yang ditahan di tiga depoh tahanan imigresen, menjadikan jumlah kumulatif kini ialah 7,417 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah keseluruhan pesakit yang pulih dan discaj dari wad ialah 5,979 kes, manakala jumlah kematian di Malaysia kekal 115.

— BERNAMA