PKP: Teknologi jadi kekangan kerja dan pembelajaran di rumah, tetapi ada ‘jalan’ lain

Cukup dengan kaedah pengurusan masa yang baik, banyak mekanisme yang dapat diterapkan kepada pembelajaran anak-anak di rumah. – Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi merupakan cabaran utama bagi golongan ibu bapa golongan B40 dan M40 dalam membimbing anak ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pensyarah di Jabatan Pendidikan Kaunselor & Psikologi Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Siti Aishah Hassan, kekangan bagi menjalani pembelajaran dari rumah ialah peralatan teknologi.

“Golongan M40 dan B40 adalah yang paling terkesan dalam cabaran bekerja dari rumah dan pembelajaran di rumah bagi anak-anak.

“Cabaran sangat tinggi, terutama ibu bapa yang hanya mempunyai satu telefon pintar sahaja dan anak-anak yang ramai.

Tambahan lagi, dengan kerja sekolah yang memerlukan mereka memakai telefon pintar, memang sangat mencabar.

“Maksudnya dari segi bagi memastikan anak-anak ini sempat bergilir buat kerja dan sebagainya. Itu cabaran ibu bapa dalam cuba mengawasi dan cuba membantu anak-anak mereka menyiapkan kerja sekolah dengan menggunakan telefon pintar," jelasnya ketika dihubungi oleh Astro AWANI pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa tempoh PKP ini merupakan peluang terbaik bagi ibu bapa membimbing dan mendidik anak-anak.

Cukup dengan kaedah pengurusan masa yang baik, banyak mekanisme yang dapat diterapkan kepada pembelajaran anak-anak di rumah.

“Pembelajaran ini tidak perlu begitu ketat, mahupun tegas, dia lebih kepada santai tetapi lebih kepada unsur pembelajaran.

“Saya tidak menggalakkan kalau ada guru-guru yang memberi kerja rumah yang begitu banyak sekali untuk disiapkan.

“Ini bukan masanya, memberi bebanan kerja kepada pelajar. Cukuplah jika pelajar ini dapat menguasai konsep-konsep yang tertentu sahaja, yang sangat kritikal dalam pembelajaran mereka tanpa perlu menyiapkan kerja rumah yang begitu banyak sekali,” tambah Siti Aishah.

BACA: PKP: Rapatkan jurang pembelajaran digital antara murid bandar dan luar bandar