PKP: Polis tahan lelaki bawa rokok seludup

Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek pagi ini. – Foto PDRM

BAGAN SERAI: Polis merampas 71 karton rokok seludup pelbagai jenama semasa penugasan Sekatan Jalan Raya (SJR) Ops COVID-19, berhampiran susur masuk Alor Pongsu, di sini, pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob, dalam operasi itu, seorang suspek lelaki berusia 30-an yang menaiki kereta jenis Nissan ditahan dalam kejadian pukul 4.30 petang.

"Rampasan keseluruhan adalah empat kotak, mengandungi 71 karton rokok keseluruhan, anggaran nilai pasaran sekitar RM 4,500, yang diletakkan di bahagian but kereta berkenaan.

"Tangkapan dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Jenayah Daerah Kerian Perak untuk tindakan lanjut.

"Modus operandi masih disiasat, termasuk dari mana stok itu diperoleh. Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek pagi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Omar lagi, kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan kesalahan di bawah Peraturan 11 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.