PKP: Maritim pantau kapal layar asing di perairan Langkawi

Dalam operasi setakat jam 11 pagi ini, kira-kira 10 buah kapal layar asing telah diperiksa. – Astro AWANI

LANGKAWI: Memasuki fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Maritim Negeri Kedah dan Perlis meningkatkan penguatkuasaan di perairan Langkawi dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Sehubungan itu, Maritim melaksanakan operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Pejabat Kesihatan Langkawi bagi memantau keberadaan kapal layar asing di perairan tersebut sepanjang tempoh lanjutan PKP sehingga 14 April ini.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, operasi yang dilaksanakan adalah selaras dengan pekeliling pelabuhan yang dikeluarkan JLM, iaitu kapal layar asing tidak dibenarkan memasuki perairan Malaysia dalam tempoh PKP.

“Maritim memandang serius aspek keselamatan anggota dan setiap anggota diingatkan supaya menjaga jarak keselamatan 1 meter, selain diarahkan memakai topeng penutup muka dan sarung tangan,” katanya. 

Dalam operasi setakat jam 11 pagi ini, kira-kira 10 buah kapal layar asing telah diperiksa.

Jelas Zulinda, kesemua kapal layar tersebut telah berada di perairan Langkawi sebelum arahan PKP dikeluarkan.

Sebagai langkah pencegahan, kru kapal layar tersebut tidak dibenarkan mendarat dan perlu berada di kawasan kuarantin yang telah ditetapkan pihak JLM.

Menurut Zulinda, pihaknya memandang serius ketika tempoh PKP ini dan bertindak tegas dalam langkah membendung penularan wabak COVID-19, khususnya yang melibatkan jangkitan dari warga asing.

Beliau turut berharap agar setiap marina kapal layar tidak menerima kehadiran kapal layar asing dan menyalurkan maklumat berkaitan larangan tersebut sehingga tamat PKP.

Sementara itu, pemerhatian melalui udara juga dilaksanakan dengan menggunakan aset helikopter AW139 milik Maritim Malaysia, melibatkan kawasan pemantauan sehingga ke Pulau Perak.

Pemantauan mendapati hanya beberapa bot nelayan menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan ia memberi petunjuk positif bahawa komuniti maritim semakin sedar kepada arahan PKP yang memasuki fasa kedua mulai Rabu lalu.