PKP: Keputusan pembukaan premis perniagaan di negeri di bawah kuasa MKN, bukan PBT – Ismail Sabri

Ismail Sabri berkata, semua keputusan berkenaan pembukaan premis dan kilang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara. Gambar fail.

PUTRAJAYA: Keputusan pembukaan premis perniagaan di negeri terletak di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bukannya pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail menjelaskan, keadaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak sama seperti hari biasa, justeru semua keputusan membabitkan operasi premis akan ditentukan oleh MKN

“Ini bukan hari biasa. Pada hari biasa, PBT boleh membenarkan atau sebaliknya sesuatu industri termasuk premis perniagaan dan bengkel dibuka atau tidak.

“Tetapi ini bukan hari biasa. Jadi waktu ini, MKN yang boleh mengeluarkan arahan dan boleh mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Isnin.

Beliau berharap semua keputusan yang melibatkan negeri atau daerah diselaraskan dengan kerajaan persekutuan dan segala keputusan yang diambil adalah berdasarkan arahan MKN.

Pada 2 April, Sabah mengumumkan kedai tayar serta bengkel kenderaan di negeri itu dibenarkan beroperasi antara jam 8 pagi hingga 2 petang setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sepanjang pelaksanaan PKP.

Pada 4 April pula, Selangor pula mengumumkan pusat servis kenderaan dan kedai alat ganti dibenarkan beroperasi antara jam 9 pagi sehingga 4 petang setiap hari, bagi tujuan kecemasan sepanjang fasa kedua PKP bermula 1 April.