PKP: Harap ‘cuti’ setiap hari, bukan hari minggu sahaja – Ismail Sabri

ISMAIL: Saya berharap semua bercuti setiap hari dan bukan pada hari minggu sahaja. – gambar fail

PUTRAJAYA: “Harap semua rakyat Malaysia 'cuti' setiap hari dan bukan hari minggu sahaja.”

Demikian peringatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media pada Isnin berhubung peningkatan jumlah tangkapan individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ahad.

Ismail berkata seramai 554 individu ditahan di sekatan jalan raya dan rondaan oleh pihak polis pada Ahad dan ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan sebanyak 51 peratus.

Katanya, orang ramai tidak harus menganggap hari minggu sebagai hari cuti dan mengambil kesempatan untuk keluar tanpa alasan kukuh.

“Semalam hari Ahad dan mungkin ramai yang mengambil kesempatan untuk keluar pada hari minggu.

“Saya berharap semua bercuti setiap hari dan bukan pada hari minggu sahaja.

“Tolong jangan ambil kesempatan untuk keluar beramai-ramai pada hari minggu,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Isnin.

Disebabkan terdapat ramai yang melanggar PKP, tindakan dan pemeriksaan yang lebih tegas dikenakan pihak polis.

Tindakan tegas polis juga didorong oleh peningkatan jumlah kes positif COVID-19 yang diumumkan Kementerian Kesihatan.

“Tindakan keras oleh polis telah bermula. Oleh itu, jangan langar perintah dan arahan di bawah PKP yang dikeluarkan.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas kepada mereka yang masih tetap mengingkari arahan PKP,” tegas beliau.

Pada Ahad, beliau memaklumkan pihak polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan sebanyak 743 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 293,051 kenderaan.

Sebanyak 25,818 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan 4,822 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.