Perubahan kerajaan negeri Kedah wajar, tamatkan spekulasi – Penganalisis politik

Perkembangan politik di Kedah dilihat mengambil masa yang agak panjang berbanding negeri-negeri lain. – Astro AWANI/Gambar hiasan

ALOR SETAR: Pengumuman pembentukan kerajaan negeri Kedah yang baharu di bawah Perikatan Nasional (PN) susulan kerajaan Pakatan Harapan hilang majoriti hari ini dilihat wajar dan bertepatan dengan masa sekaligus menamatkan pelbagai andaian dan spekulasi mengenainya sejak beberapa bulan lalu.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata keadaan itu akan membawa kepada kestabilan politik yang seterusnya memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Menurutnya, perkembangan politik di Kedah telah mengambil masa yang agak panjang berbanding negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka dan Perak yang turut berubah pentadbiran susulan perubahan kerajaan di peringkat pusat.

"Saya rasa semua pihak sedia maklum kerajaan negeri Kedah akan berubah juga, susulan perubahan kerajaan di peringkat pusat, cuma politik di Kedah ini sedikit berbeza dengan negeri lain sebab itu perubahannya berlaku sekarang dan bukan sebelum ini.

"Di Kedah ini kita ada tokoh-tokoh seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir selaku timbalan pengerusi Bersatu yang sangat dihormati, jadi rasa hormat kepada kedua-dua pemimpin ini tinggi dalam kalangan rakyat dan pemimpin politik negeri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau turut melihat keputusan itu akan memberi kebaikan kepada rakyat yang memerlukan hubungan utuh atau selari antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat untuk menjamin pelaksanaan pembangunan yang lebih berkesan.

Md Shukri bagaimana pun mengingatkan kerajaan negeri yang baharu nanti supaya berhati-hati dan tidak terlalu ghairah susulan keputusan hari ini sehingga menimbulkan kecelaruan atau rasa tidak senang dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, Ketua Kluster Governan dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, UUM, Prof Dr Ahmad Marthadha Mohamed berkata perubahan kerajaan itu sememangnya telah dijangka, namun perlu berlaku mengikut lunas perlembagaan.

Katanya, menjamin kestabilan politik dan menangani segera isu-isu yang membelenggu hidup rakyat harus menjadi keutamaan kerajaan negeri yang baharu termasuk berkaitan pengangguran dan kelangsungan hidup rakyat dalam tempoh wabak COVID-19 ini.

"Rakyat sebenarnya sudah tidak mahu fikir sangat mengenai politik, apa yang diharapkan adalah kestabilan politik yang menjamin kebajikan hidup mereka, terutama dalam tempoh yang mencabar ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Marthadha turut menzahirkan rasa simpatinya terhadap Mukhriz yang kini telah dua kali 'jatuh' sebagai menteri besar Kedah, namun beliau percaya dalam politik pelbagai perkara boleh berlaku.

"Kalau dulu masa pertama kali jadi menteri besar tidak ada siapa jangka dia akan dijatuhkan, dan tidak ada siapa jangka dia akan naik semula jadi menteri besar dan tiada siapa jangka kali ini dia dijatuhkan lagi.

"Dalam politik ini macam-macam boleh berlaku dan tidak ada siapa yang boleh jangka apa akan berlaku pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, seramai 19 daripada 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah semalam mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Dalam satu sidang media, Ketua Pembangkang DUN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata mereka merangkumi 15 ADUN PAS, dua UMNO dan dua lagi ADUN PKR yang mengumumkan keluar parti tengah hari tadi iaitu Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam).

— BERNAMA