Perkeso terima 21,800 permohonan faedah Skim Insurans Pekerjaan

Ahmad Nadzarudin menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak angkat Perkeso di Kampung Lingai, Kuala Nerus. – Astro AWANI

KUALA NERUS: Sebanyak 21,800 permohonan faedah Skim Insurans Pekerjaan (SIP) daripada individu yang kehilangan pekerjaan diterima Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak berkata, daripada jumlah itu, 444 permohonan adalah di Terengganu membabitkan pekerja di bawah 20 majikan dan 260 telah diluluskan setelah didapati cukup syarat yang ditetapkan.

“Sementara itu, ada juga beberapa kes yang terpaksa kita tolak iaitu sejumlah 79 kes yang membuat permohonan, kita terpaksa tolak kerana kes ini didapati tidak layak untuk memohon di bawah SIP di mana mereka ini tidak hilang pekerjaan tetapi telah diberi notis cuti tanpa gaji,” katanya.

Beliau berkata, kesemua permohonan itu diterima bermula Januari sehingga April lalu.

Katanya, ia juga menunjukkan peningkatan ketara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac.

Bagaimanapun, pihak yang gagal dalam permohonan SIP tidak perlu gusar kerana mereka boleh memohon program pengekalan pekerjaan yang turut dilaksanakan Perkeso.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak angkat Perkeso di Kampung Lingai, di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Perkeso juga telah meraikan 58 anak angkat pada tahun ini dengan kos RM20,000 dan tambahan 26 lagi anak angkat di Terengganu yang menerima sumbangan dan duit raya.

Bagi ibu kepada anak angkat Perkeso, Roha Yunus, dia bersyukur kerana anak-anaknya dipilih Perkeso untuk menerima manfaat bagi meneruskan kehidupan.

Ujar Roha yang mempunyai 10 orang anak, kehidupannya agak susah kerana tidak bekerja dan mempunyai empat orang anak berusia tujuh sehingga 12 tahun.

Dia hanya bergantung kepada pencen bulanan dari Perkeso dan bantuan anak serta saudara semata-mata untuk membesarkan anak selepas kematian suami yang juga pencarum pada Jun 2018 akibat kanser.