Pergerakan terkawal ketika orang ramai lakukan pembelian saat akhir sempena Aidilfitri

Pengunjung hanya dibenarkan memasuki pasar tidak lebih 15 minit. -Astro AWANI

ALOR SETAR: Sudah menjadi kelaziman, orang ramai akan berpusu-pusu ke pasar pada hari terakhir Ramadan bagi membuat persiapan akhir Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan Wakil Astro AWANI di Pasar Besar Alor Setar, Kedah mendapati keadaan lalu lintas dan pergerakan orang ramai di dalam pasar lebih terkawal.

Menurut Pengerusi Peniaga Pasar Besar, Fauzi Sharif, langkah awal pengawalan telah diambil pihaknya melalui kerjasama dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi memastikan tidak berlaku kesesakan di dalam pasar.

Setiap pengunjung hadir diwajib melakukan pemeriksaan suhu badan, memakai pelitup muka, selain perlu mengekalkan jarak sosial 1 meter antara satu sama lain.

Malah, katanya, pengunjung hanya dibenarkan memasuki pasar tidak lebih 15 minit.

Katanya, semua pihak harus mengambil faham dengan normal baharu menyambut Aidilfitri pada tahun ini.

"Pasar Besar Alor Setar dibuka hingga jam 12 tengah hari. Apabila ada kelonggaran dalam PKPB, pasar ini dibuka hingga ke jam 2 petang. Tetapi sampai jam 2 lebih pun ada lagi peniaga yang jual sambil lalu.

Jelas Fauzi, sebanyak 214 peniaga beroperasi hari ini dan barangan yang dijual mematuhi arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang diumumkan Menteri semalam.

Sementara itu, bagi pengunjung, mereka telah membuat perancangan awal sebelum datang ke pasar seperti menyenaraikan barangan yang hendak dibeli.

Aidilfitri tahun ini disambut dalam suasana normal baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia.