Penduduk berbuka dalam banjir kilat di Pulau Pinang

Hujan lebat bermula 6 petang hingga 7.15 malam itu juga menyebabkan beberapa jalan ditutup kepada lalu lintas kerana ditenggelami air.

GEORGE TOWN: Hujan lebat lebih sejam di sini petang semalam menyebabkan lapan kawasan di bawah Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat mengalami banjir kilat, memaksa sebahagian penduduk beragama Islam berbuka puasa dalam keadaan rumah dinaiki air.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata hujan lebat bermula 6 petang hingga 7.15 malam itu juga menyebabkan beberapa jalan ditutup kepada lalu lintas kerana ditenggelami air.

"Kawasan yang terlibat banjir kilat ialah Jalan Van Praagh, Lintang P. Ramlee, Jalan P. Ramlee, Kampung Masjid, Jalan Kebun Lama, Kampung Makam, Astaka Stadium dan Jalan Makloom," katanya di sini malam tadi.

Katanya kebanyakan kawasan terbabit dinaiki air setinggi 0.1 meter hingga 0.5 meter, namun tiada penduduk dipindahkan berikutan keadaan air semakin surut setakat 9 malam tadi.

"Pihak kami masih memantau keadaan di kawasan banjir bagi memastikan semua dalam keadaan baik dan jika ada mangsa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pejabat saya," katanya.

Seorang penduduk, Hasmah Sahibu, 58, berkata rumahnya ditenggelami air sedalam 0.5 meter ketika mereka sekeluarga sedang bersiap untuk berbuka puasa.

"Dalam dua minggu lepas, rumah saya telah mengalami banjir kilat, ini sekali lagi dan hari ini kami terpaksa berbuka puasa dalam air banjir.

"Nasib baik semua barang elektrik seperti peti ais dan mesin basuh telah letak tinggi sedikit sebab dah faham kalau musim hujan lebat kawasan sini memang akan dinaiki air," katanya yang tinggal di Jalan P.Ramlee.

— BERNAMA