Patuh PKP elak kluster baharu dalam kalangan pasukan keselamatan – ATM

Ahmad Hasbullah (kanan) berkata setakat ini, pematuhan PKP di peringkat nasional ialah sebanyak 97 peratus namun baki yang melanggar penguatkuasaan perintah itu boleh membawa risiko yang amat tinggi. – Bernama

GEORGE TOWN: Orang ramai dinasihatkan supaya terus berdisiplin dan mematuhi arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bagi mengelak risiko penularan wabak COVID-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan, terutama pasukan keselamatan.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata kegagalan orang ramai mematuhi arahan dikhuatiri akan mewujudkan kluster baharu dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mampu menjejaskan keselamatan negara, terutama di kawasan sempadan.

"Setakat ini tak ada lagi kluster dalam kalangan anggota pasukan keselamatan yang bertugas, kalau berlaku saya khuatir ketahanan kita pun akan jatuh kerana apabila seorang kena, habis satu pasukan yang bertugas di sekatan jalan raya akan dikuarantin.

"Jadi saya minta semua orang patuh arahan supaya kita dapat putuskan rantaian COVID-19," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan operasi PKP sempena Op Penawar di Bayan Baru pada Rabu.

Terdahulu, beliau turut mengadakan tinjauan di Perlis serta Kedah dalam rangka lawatan kerjanya ke seluruh negara.

Ahmad Hasbullah berkata setakat ini, pematuhan PKP di peringkat nasional ialah sebanyak 97 peratus namun baki yang melanggar penguatkuasaan perintah itu boleh membawa risiko yang amat tinggi.

Berikutan itu, katanya, kepimpinan PDRM dan ATM akan mengadakan perbincangan untuk mencari kaedah baharu bagi mengekang jumlah orang awam yang keluar dari rumah tanpa sebab munasabah.

Sementara itu, beliau berkata ATM telah meningkatkan pengawasan di kawasan sempadan negara dengan menempatkan 5,000 pegawai dan anggota bagi membendung pencerobohan pendatang yang boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19.

"Kami juga telah mengenal pasti laluan-laluan tikus (di sempadan negara) yang mampu dieksploitasi oleh warga asing yang ingin memasuki negara kita secara haram.

"Jadi ATM akan tingkatkan pengawasan dengan menambah bilangan anggota, memperkasa pemantauan teknologi dan mewujudkan sekatan agar sempadan tidak dibolosi ketika penularan wabak ini," katanya.

— BERNAMA