Mungkin terdapat tiga strain COVID-19 di Malaysia – KP Kesihatan

Dr Noor Hisham berkata, COVID-19 adalah virus baharu dan tiada sebarang laporan atau data untuk membantu pihak berkuasa dalam penyelidikan mereka. – Gambar fail BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan terdapat tiga strain COVID-19 di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, masih terlalu awal untuk mengesahkannya kerana perkara itu perlu terlebih dahulu dikaji oleh pihak berkuasa kesihatan termasuk Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Beliau berkata, ia adalah virus baharu dan tiada sebarang laporan atau data untuk membantu pihak berkuasa dalam penyelidikan mereka.

"Ini adalah virus baharu jadi pada asasnya kami tidak mempunyai laporan atau data tentang virus ini yang boleh kami rujuk, tidak seperti virus lain, yang kami sudah kenal pasti dan ada laporannya.

"Jadi apa yang kami lakukan di IMR adalah mengkaji serologi virus ini, isolasinya dan juga mengkaji genomiknya," jelasnya pada taklimat harian mengenai COVID-19 di KKM di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes postitf COVID-19 yang terdapat di Malaysia mungkin strain C.

"Perlu ingat, dalam gelombang pertama penyakit ini di negara ini, sebanyak 16 pesakit adalah dari China, jadi kita tahu ada kebarangkalian kumpulan ini adalah daripada kumpulan Wuhan.

"Sama ada kita menyaksikan strain virus yang berbeza, ia bergantung … berikutan mereka (laporan) menyatakan di China kini mungkin adalah strain B dan mereka menyatakan di Asia adalah strain C dan di Amerika Syarikat dan Eropah adalah strain A, sebagai contoh.

"Tetapi kami tidak tahu sehingga kami jalankan proses kultur virus di negara ini dengan sususan genome yang lengkap …jika kami dapat lakukan itu dan tag serta kenal pasti ciri-ciri virus di negara ini sama ada ia jenis A ,B atau C.

"Mungkin ada tiga strain di negara ini tetapi kami tidak tahu sehingga kami lakukan isolasi virus itu dan tag virus itu, hanya selepas itu kami boleh buat perbandingan," jelasnya.

Terdapat laporan bahawa Jenis A kemungkinan besar adalah strain yang menjadi punca kepada wabak ini, Jenis B terhasil daripada Jenis A, dipisahkan oleh dua mutasi dan Jenis C adalah "anak" Jenis B.– BERNAMA