Mukhriz umum lepas jawatan MB Kedah berkuatkuasa serta merta

Mukhriz mengadakan sidang media di Wisma Darul Aman hari ini. – Astro AWANI

ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Peletakan jawatan itu sekali gus membawa kepada pembubaran pentadbiran kerajaan negeri yang disertai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Kedah dari kerajaan Pakatan Harapan campur Bersatu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau dimaklumkan telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah. 

Ia susulan tindakan 23 ADUN yang membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) Kedah, terdiri daripada 15 ADUN Pas, 4 ADUN Bersatu-PN, 2 ADUN Barisan Nasional serta 2 ADUN Bebas. 

"Saya telah sembah maklum kepada Sultan Kedah bahawa saya telah kehilangan kepercayaan majoriti ADUN," kata Mukhriz pada satu sidang media di Wisma Darul Aman di sini pagi ini.

Menurutnya, beliau akan bersama-sama 12 ADUN Pakatan Harapan yang lain, termasuk satu dari Bersatu, berada di blok pembangkang sehingga DUN Kedah dibubarkan kelak.

Bagaimanapun, katanya, kedudukan Ketua Pembangkang di DUN Kedah masih belum diputuskan.

"Dengan peletakan jawatan saya sebagai MB, semua jawatan exco negeri juga tergugur," tambahnya.

Selain meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, Mukhriz turut melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang telah disandangnya sejak 2018.

Pada Jumaat, kesemua 36 ADUN di Kedah telah menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berhubung kedudukan terkini kerajaan negeri Kedah.

Ia selepas tindakan 2 ADUN PKR yang mengumumkan meletak jawatan dan bergelar ADUN Bebas, sekali gus kerajaan Pakatan Harapan campur Bersatu Kedah hilang sokongan majoriti yang dimiliki.