Mengapa masalah pengangguran mustahil dapat diselesaikan?

Para graduan akan terpaksa bersaing dengan sengit dalam kalangan mereka untuk membuktikan kepada bakal majikan bahawa mereka mempunyai sikap dan kebolehan yang diperlukan syarikat. – Gambar hiasan

MASALAH pengangguran semakin serius di banyak negara. International Labor Organization (ILO) meramalkan 1.25 bilion pekerja di seluruh dunia akan kehilangan pekerjaan mereka akibat masalah COVID-19. Ini merupakan 38 peratus dari tenaga kerja di seluruh dunia. 

Di Amerika Syarikat satu laporan mengatakan semenjak bermula wabak ini sehingga kini, 33 juta rakyat telah kehilangan pekerjaan. Di negara China, laporan dari CNN mengatakan setakat ini 80 juta rakyatnya telah kehilangan pekerjaan pada akhir bulan Mac.

Di Malaysia, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) telah mengunjurkan kemungkinan kadar pengangguran sebanyak 9.2 peratus dan jumlah pengangguran sebanyak 1.46 juta orang. Jika kadar jangkitan COVID-19 meningkat kembali, kemungkinan jumlah pengangguran akan menjadi bertambah tinggi.

Semua ini adalah berita yang sangat membimbangkan, terutama sekali kepada ribuan anak muda yang akan keluar dari universiti mencari pekerjaan. Setelah berhempas pulas berusaha mendapat ijazah dan berbelanja wang yang begitu banyak, mereka mungkin masih akan terpaksa bergantung kepada ibu bapa untuk menyara kehidupan mereka. Yang lebih menyedihkan, ramai yang mungkin akan terbelit dengan hutang PTPTN.

Ini sangat berbeza dengan keadaan pada zaman dahulu. Walaupun gaji pekerja dahulu mungkin adalah rendah, namun anak muda tidak perlu bimbang dari segi peluang pekerjaan. Dengan memiliki sijil tinggi sekolah, seseorang sudah layak dilantik menjadi guru.

Jika memiliki ijazah sarjana, mereka layak dilantik menjadi pensyarah dan ada akhirnya dapat menjadi profesor dan naib canselor atau rektor universiti.   

Namun sekarang ini, anak muda yang memiliki ijazah belum tentu akan mendapat pekerjaan sama ada di dalam sektor awam atau swasta. Bahkan yang memiliki PhD pun masih belum tentu boleh mendapat pekerjaan sebagai pensyarah.

Kenapakah situasi ini berlaku? Dan mengapakah ia sangat berbeza dengan keadaan di zaman dahulu?

Satu perkara yang mesti difahami ialah pada zaman dahulu, pemain utama dalam ekonomi adalah individu.

Sebagai contoh, banyak aktiviti perniagaan dahulu adalah dijalankan oleh perniagaan tunggal (sole proprietorship) atau perkongsian (partnership). Persaingan antara perniagaan ini adalah tidak sengit kerana saiz perniagaan adalah kecil. Oleh kerana saiz pasaran adalah besar berbanding pemain perniagaan, terdapat peluang yang cukup untuk semua ahli perniagaan mencari pasaran untuk menjual produk atau perkhidmatan mereka.  

Namun susulan dari berkembangnya industri perbankan dan kewangan, semuanya telah berubah. Industri perbankan menggalakkan pertumbuhan unit perniagaan yang diperbadankan (corporation) yang kebanyakannya dalam bentuk syarikat berhad (limited liability company).

Industri perbankan menggalakkan perkara ini kerana dengan cara ini bayaran balik pinjaman akan terjamin kepada pihak bank, walaupun pengasas syarikat sudahpun meninggal dunia. Pada masa yang sama syarikat yang besar akan meminjam dengan jumlah yang besar sekali gus meningkatkan saiz keuntungan syarikat perbankan.

Syarikat berhad bersaiz besar ini seterusnya akan bersaing sesama mereka. Untuk meningkatkan daya saing dengan cepat, mereka perlu memperolehi dana dengan cepat dan sudah tentu akan lebih cenderung untuk memperolehinya dari industri kewangan dalam bentuk hutang berbanding berusaha mencari pelabur ekuiti atau ekuiti.

Ini kerana berhutang dengan bank melibatkan proses kelulusan yang lebih cepat dan mudah dan syarat kadar pulangan projek adalah lebih rendah berbanding melalui pelaburan ekuiti atau saham.

Lama kelamaan, syarikat besar yang mempunyai hutang yang banyak mendominasi banyak sektor. Sebagai contoh, dalam sektor peruncitan di Malaysia, sebuah syarikat yang mendominasi pasaran ialah Mydin, yang berhutang lebih dari RM2 bilion. 

Tetapi Mydin perlu bersaing sengit dengan syarikat Giant, Tesco, Econsave dan lain-lain yang menggunakan strategi perkembangan yang sama.

Untuk memastikan daya saing sentiasa meningkat, semua syarikat perlu meningkatkan produktiviti dan menurunkan kos operasi, termasuk dengan cara memastikan pekerja sedia ada dimaksimumkan dari segi sumbangan mereka kepada organisasi dan mempunyai keupayaan berkerja berbilang tugas (multitasking). Pekerja baharu hanya diambil jika mereka betul-betul diperlukan.

Dalam suasana ekonomi yang berkembang cepat, keperluan untuk membesarkan operasi akan memaksa syarikat mengambil pekerja baharu. Di Malaysia, ini berlaku dalam tempoh dari tahun 1970-an hingga akhir 1990-an.

Pada tahun 1973, kadar pertumbuhan KDNK adalah 11 peratus dan pada tahun 1996 ia adalah 10 peratus. Dalam tempoh ini, peluang pekerjaan memang banyak. Tetapi realitinya ialah pertumbuhan ekonomi tersebut dibiayai oleh dana yang dipinjam dari institusi kewangan dari dalam dan luar negara dan tidak akan dapat bertahan lama.

Pada tahun 1997, krisis kewangan Asia berlaku dan mengakibatkan pertumbuhan negatif sebanyak -7.3 peratus. Sejak itu kadar pertumbuhan ekonomi di negara kita telah menurun kepada purata sekitar 4.4 peratus sahaja. Ini bermakna suasana peluang perkerjaan kepada graduan universiti juga telah berubah dan menjadi semakin mencabar.

Wabak COVID-19 yang melanda Malaysia pada pada tahun ini membuat keadaan menjadi semakin teruk dan oleh itu masalah pengangguran sudah tentu akan menjadi semakin tenat kerana banyak syarikat menghadapi kesulitan kewangan yang serius dan terpaksa mengurangkan saiz operasi. Dalam sektor tertentu seperti perhotelan dan pengangkutan, banyak firma terpaksa tutup terus.

Pakej rangsangan ekonomi kerajaan hanya mampu menangguhkan masalah kerana sumber kewangan kepada pakej tersebut adalah juga wang yang dihutang dari institusi kewangan. Hutang yang semakin banyak bermakna bayaran bunga atau interest tahunan juga semakin meningkat.

Sekarang ini bayaran tahunan interest kerajaan adalah hampir RM40 bilion setahun. Oleh kerana pendapatan kerajaan juga semakin menurun besar kemungkinan defisit kerajaan bagi tahun ini akan menjadi bertambah teruk.

Oleh itu, kita tidak hairan kenapa kerajaan sekarang keberatan untuk mengambil kakitangan baharu. Di samping itu, kerajaan juga akan mungkin terpaksa memperkenalkan sistem kutipan cukai yang lebih berkesan seperti GST dan juga menaikkan kadar cukai tersebut melebihi 6 peratus sebelum ini untuk memastikan pendapatan kerajaan mencukupi.

Kadar cukai syarikat juga mungkin dinaikkan. Jika semua ini berlaku, kos operasi syarikat juga akan meningkat dan ini akan menyulitkan lagi masalah pengangguran di negara kita.

Sebenarnya ada satu perkara yang jika berlaku, boleh membuat keadaan ekonomi menjadi lebih baik dan peluang pekerjaan menjadi bertambah iaitu pihak industri perbankan memaafkan semua hutang-hutang organisasi yang tenat akibat wabak COVID-19.

Dengan cara itu, syarikat dan individu-individu yang mempunyai beban hutang yang tinggi akan dapat bernafas kembali. Suasana ekonomi akan mula pulih dan ada kemungkinan operasi organisasi dalam sektor swasta dan awam dapat dikembangkan kembali. Dengan itu mereka akan dapat mengambil pekerja baharu sekaligus mengurangkan masalah pengangguran.

Malangnya, ciri semula jadi atau 'DNA' industri perbankan, tanpa mengira sama ada perbankan Islam atau konvensional, tidak membenarkan tindakan memaafkan hutang dapat dilakukan.

Oleh kerana itu pada masa akan datang, masalah pengangguran tidak akan dapat diselesaikan kecuali jika seluruh sistem kewangan kita dirombak balik dan hutang tidak lagi menjadi industri, yakni aktiviti untuk mendapat keuntungan, tetapi sebaliknya hanya amalan untuk membantu orang yang tersangat susah dan memerlukan bantuan.

Sebaliknya jika sistem sedia ada terus dikekalkan dan dibiarkan berkembang, masalah pengangguran akan sentiasa wujud dan graduan yang mahukan pekerjaan tidak mempunyai pilihan kecuali sanggup menerima upah yang mungkin tidak mampu menangani masalah kos sara hidup mereka.

Di samping itu, para graduan akan terpaksa bersaing dengan sengit dalam kalangan mereka untuk membuktikan kepada bakal majikan bahawa mereka mempunyai sikap dan kebolehan yang mampu mempertingkatkan daya saing syarikat dalam menghadapi suasana pernigaan yang semakin mencabar.


* Prof Mohd Nazari Ismail bertugas di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.