Menempuh gelombang COVID-19, PKP dan Pakej PRIHATIN perisai rakyat

Kerajaan turut meningkatkan penguatkuasaan dengan menggerakkan anggota tentera untuk membantu polis dalam menguatkuasakan PKP, bermula 22 Mac. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Malaysia, yang pertama kali menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), melanjutkan perintah kawalan itu sehingga 14 April dengan lebih ketat, dalam usahanya memerangi wabak COVID-19, selepas fasa pertama berakhir tepat 12 tengah malam tadi.

Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP fasa pertama itu, pelbagai langkah dan usaha diambil, sama ada di pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahupun orang perseorangan, yang dilihat berganding bahu bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19, yang boleh membawa maut.

Tegas mengambil tindakan untuk membendung penularan virus yang sehingga tengah hari Selasa telah mengorbankan 43 nyawa di Malaysia dan menjangkiti 2,766 orang, kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang diklasifikasi sebagai zon merah COVID-19.

PKPD sehingga kini dikuatkuasakan di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang melibatkan 3,570 penduduk; Sungai Lui, Hulu Langat Selangor (3,918 orang di tujuh kampung) dan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, yang melibatkan 3,200 penghuni kondominium itu.

Pelaksanaan PKP, yang dilihat sebagai usaha segera untuk memutuskan rantaian jangkitan dalam komuniti, antara lain menyaksikan penguatkuasaan sekatan perjalanan keluar dari negeri masing-masing termasuk ke luar negara, menutup rumah ibadat, sekolah dan institut pengajian tinggi bagi melindungi rakyat.

Tempoh dua minggu itu, yang tidak pernah dilalui rakyat di negara ini, memberi pelbagai pengalaman baharu antaranya bekerja dari rumah, berkurung di rumah, hanya ketua keluarga dibenar membeli barangan keperluan, menggunakan aplikasi dalam talian untuk membeli barangan, kuliah dan mesyuarat secara telesidang dan memastikan amalan kebersihan diri tahap tinggi, serta jarakan sosial.

Sama ada tidak ambil peduli atau sengaja ingkar perintah, terdapat segelintir rakyat yang masih melepak, keluar rumah tanpa alasan munasabah dan ada juga yang beriadah, sehingga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu agar rakyat, untuk terus berada di rumah masing-masing, selama tempoh dua minggu itu.

Kerajaan turut meningkatkan penguatkuasaan dengan melakukan beberapa tangkapan terhadap individu yang masih ingkar, selain menggerakkan anggota tentera untuk membantu polis dalam menguatkuasakan PKP, bermula 22 Mac.

Menerusi siaran televisyen dan radio, Muhyiddin beberapa kali muncul menyampaikan amanat dan perutusan kepada rakyat, mengenai langkah kerajaan untuk menangani wabak COVID-19 serta mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi, ekoran kesannya kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

Memberi tumpuan kepada kesihatan awam sebagai keutamaan, kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyokong usaha menangani COVID-19 dan membiayai pengambilan petugas baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.

Sejumlah RM500 juta digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti 'ventilator' dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU), peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan, bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19.

Tempoh PKP itu menyaksikan negara menerima pelbagai bantuan daripada negara luar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat, dalam pelbagai bentuk sama ada peralatan perubatan, sukarelawan, anggota perubatan dan kewangan.

Kapasiti makmal KKM yang terbabit dalam menjalankan ujian pengesanan COVID-19 diperluaskan, dengan bantuan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), yang menyediakan 10 makmal diagnostik tambahan.

Bagi membela nasib golongan yang terjejas akibat pelaksanaan PKP, kerajaan mengambil inisiatif drastik dengan membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebanyak RM250 bilion, yang boleh diibaratkan sebagai 'pucuk dicita ulam mendatang'.

Daripada keseluruhan jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk mengukuhkan ekonomi negara.

— BERNAMA