MEDAC perkenal pelan pemulihan untuk 20,000 usahawan

Wan Junaidi dan Tengku Zafrul mengadakan perbincangan bagi meningkatkan semula operasi perniagaan selepas kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi ketika PKPB pada kapasiti penuh tanpa sekatan. – Facebook Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah membentangkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi kepada Kementerian Kewangan (MoF) yang menggariskan enam strategi utama untuk membantu 20,000 usahawan tempatan, kata Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pelan tersebut akan menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan dalam tempoh segera, memastikan usahawan kekal berdaya saing dan mampan.

"Pelan ini mengandungi 30 program yang akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu jangka masa pendek bermula Mei hingga Disember 2020 dan sederhana dari Januari 2021 hingga Mei 2021," katanya dalam laman sosial Facebook.

Wan Junaidi berkata demikian selepas menemui Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang mana beliau berbincang untuk meningkatkan semula operasi perniagaan di negara ini selepas kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada kapasiti penuh tanpa sekatan.

Katanya, lebih 20,000 usahawan yang merangkumi usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana, koperasi termasuk sektor informal akan menerima manfaat daripada pelaksanaan pelan ini.

"MEDAC juga telah membawa 19 program dan inisiatif baharu kepada Kementerian Kewangan, antaranya permohonan penambahan dana bagi TEKUN Nasional dan agensi-agensi di bawah MEDAC."

Penambahan dana bagi TEKUN Nasional perlu dipertimbangkan selepas MEDAC menerima jumlah permohonan pembiayaan yang banyak daripada usahawan-usahawan PKS di seluruh negara.

"Kerajaan akan terus komited untuk membantu usahawan-usahawan yang terjejas, memulakan perniagaan kembali supaya ekonomi negara dapat berkembang lebih baik."

 

Sumber Facebook dswanjunaidi

Selain itu, MEDAC juga telah memulakan kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi melaksanakan program keusahawanan belia terutamanya di kalangan pelajar dan graduan IPT serta belia yang kehilangan pekerjaan akibat penularan wabak COVID-19.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan nanti adalah program keusahawanan dalam bidang pertanian yang memanfaatkan teknologi terkini seperti fertigasi dan program "Mobilepreneur" yang memberi peluang pekerjaan kepada belia.

"Pelaksanaan program-program ini akan menggunakan pembiayaan yang disediakan melalui agensi-agensi MEDAC seperti TEKUN Nasional."

"Justeru, sebagai kerajaan yang prihatin, pelaksanaan inisiatif baharu ini diharap dapat menggerakkan semula aktiviti perniagaan PKS dan Mikro untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem ekonomi negara."

— BERNAMA