Lori muatan roti hilang dijumpai di Kemaman

Lori seberat 3 tan itu dijumpai orang ramai di pekarangan Masjid Kampung Beris Meraga, Kijal, kira-kira jam 8 malam dan memaklumkan kepada syarikat pengedaran roti terbabit.

KEMAMAN: Sebuah lori dengan muatan roti yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur ditemukan di Kemaman, Terengganu, pada Isnin malam.

Lori seberat 3 tan itu dijumpai orang ramai di pekarangan Masjid Kampung Beris Meraga, Kijal, kira-kira jam 8 malam dan memaklumkan kepada syarikat pengedaran roti terbabit.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan kenderaan berkenaan.

Menurut Hanyan, lori yang digunakan untuk mengedar roti di sekitar Kuala Lumpur itu dilaporkan hilang di Jalan Petaling di ibu kota sekitar jam 7 pagi hari yang sama.

Pemandu lori hanya menyedari lori berkenaan hilang ketika hendak memulakan tugas penghantaran dan kemudianya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Hanyan berkata laporan mengenai penemuan lori berkenaan di buat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman pada jam 10 malam Isnin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Pihaknya akan menyerahkan kes itu kepada IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.