Lapan hadiri parti liar dalam tempoh PKP di JB, diberkas

AYOB KHAN: Kesemua suspek juga didapati positif dadah jenis metamfetamin dan tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah. – Gambar fail

JOHOR BAHRU: Polis menahan enam lelaki dan dua wanita warga tempatan kerana menghadiri pesta liar di sebuah inap desa di bandar raya ini semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 31 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 12.30 tengah malam oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Beliau berkata turut dirampas dalam serbuan itu ialah dadah disyaki jenis ketamin seberat 13.50 gram, lapan biji pil erimin 5 dan tiga liter air ketum.

Katanya hasil semakan rekod lampau juga mendapati lima daripada enam suspek lelaki itu mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.

"Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek adalah dari luar dan bukan penghuni di premis berkenaan, selain gagal memberi alasan yang munasabah untuk berkumpul," menurutnya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek lelaki positif dadah jenis ketamin.

Ayob Khan berkata kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kesdisiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Peraturan 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Suspek yang didapati positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya memberkas empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Singapura bersama sejumlah dadah dalam dua serbuan sekitar Johor Bahru semalam.

Serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Mutiara Rini pada 5 petang membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Singapura berusia lingkungan 24 hingga 34 tahun.

Ayob Khan berkata pihaknya merampas 551.97 gram serbuk ekstasi, 450 biji pil erimin 5, 40.64 gram heroin, 18.44 gram syabu dengan jumlah keseluruhan bernilai RM66,727 selain menyita empat kenderaan bernilai RM250,000 serta wang tunai berjumlah RM2,640 dan 200 dolar Singapura.

Menurutnya, kesemua suspek juga didapati positif dadah jenis metamfetamin dan tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Beliau berkata suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Peraturan 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

— BERNAMA