KPDNHEP Terengganu siasat dakwaan kenaikan harga ayam, ambil tindakan tegas

Sejak 13 Mei lalu, sebanyak 386 pemeriksaan secara menyeluruh dilakukan KPDNHEP terhadap premis-premis di seluruh Terengganu. Gambar fail

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu memberi amaran mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menaikkan harga ayam, malah sehingga kini 12 notis sudah dikeluarkan terhadap pemilik ladang ternakan, pemborong dan peruncit.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, berdasarkan rekod, harga purata bagi jualan runcit ayam di negeri ini ialah sekitar RM5 hingga RM7 sekilogram mengikut kawasan.

Bagaimanapun, katanya pihaknya menerima aduan daripada pengguna mengenai sesetengah kedai menjual ayam sehingga mencecah RM9 sekilogram sejak kebelakangan ini.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya melakukan pemeriksaan dan siasatan sebelum mengeluarkan sebanyak 12 notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Dua notis dikeluarkan terhadap peladang, sembilan kepada pemborong dan satu dikeluarkan terhadap peruncit.

"Jika sabit kesalahan, denda maksimum boleh dikenakan terhadap
individu adalah sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula, mereka boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM500,000 jika sabit kesalahan," katanya di sini.

Beliau berkata sejak 13 Mei lalu, sebanyak 386 pemeriksaan secara menyeluruh dilakukan KPDNHEP terhadap premis-premis di seluruh Terengganu.

Sementara itu, Saharuddin berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, pihaknya telah menjalankan 3,488 pemeriksaan dan membuka 79 kertas siasatan melibatkan nilai kompaun sebanyak RM31,400.

Selain itu, sebanyak 169 aduan telah diterima daripada orang awam yang antaranya melibatkan 70 kes berkaitan transaksi dalam talian dan aduan berkaitan harga (45).