KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa (3)

Penulis Lulusan Universiti Putra Malaysia ini aktif sebagai penulis skrip drama TV dan teater. – Gambar Facebook Siti Jasmina Ibrahim

"THE Joy Luck Club" (TJLC) adalah filem tema wanita paling berpengaruh pada 1993.

Namun, dunia sinema period 90-an tetap mengingati "Thelma and Louise" (T&L) terbitan 1991 sebagai sinema feminisme terbaik mewakili dekad terakhir abad ke 20.

"TJCL", filem berduniakan meja mahjung di dalam sebuah rumah tempat bertemu empat warga tua. Kisah wanita migran China berusia 70-an di San Francisco dan sering ditenggelamkan kenangan masa lalu.

Imbas semula filem ini dipenuhi dengan pengalaman perjalanan empat remaja dalam latar China di bawah rejim komunis.

Mereka berusaha gigih dan berani mencari jalan meninggalkan tanah air akibat kemiskinan hidup dan tekanan politik komunisme.

Walaupun jalur cerita TJLC jelas wujud propaganda anti Beijing, ia sangat tipis dan terkawal. Filem ini lebih berusaha mempromosi Amerika Syarikat (AS) sebagai Land of Liberty.

"T&L" pula muncul dengan latar kota Hollywood yang dianggap serba patriarki bernuansa AS. Kehidupan yang diplotkan sebagai sistem sosial yang menjadikan wanita sebagai mangsa keganasan dan penindasan hak asasi.

Filem "TJCL" jelas lebih berseni dengan latar San Francisco. Narasi filem ini lebih lembut dan menjuarai ideologi feminis secara estetik.

Apa lagi "TJCL" berjaya memaparkan sosok sosio-budaya dan pseudo ras yang pelbagai di AS.

Plot utamanya digerakkan adegan kehidupan empat wanita yang melalui hari-hari tua sebagai warga Cina yang tipikal walaupun sudah lima dekad menetap di AS.

Amy Tan sebagai novelis "TJCL" juga punya pesona tersendiri. Secara peribadi, dia DNA generasi pertama yang dilahirkan sebagai Cina Amerika tetapi berpendidikan tinggi.

Amy Tan, anak kepada pendatang China, John dan Daisy Tan. Lahir pada 19 Februari 1952 di Oakland, California dan lulusan sarjana di San Hose State University.

Selain "TJCL", Amy Tan menulis hampir semua novelnya dengan berlatarkan konflik budaya migran China di Amerika.

Novel "The Kitchen God's Wife", "The Hundred Secret Senses", "The Bonesetter's Daughter", "Saving Fish from Drowning" dan "The Valley of Amazement".

Karya terakhir Amy Tan "Where The Past Begins: A Writer's Memoir" (2017).

Amy Tan sangat sentimental pada dunia migran China yang dikenalnya melalui kisah-kisah keluarga dan tetangga.

"TJCL" novel yang sangat detils dengan watak-watak wanita tua yang merintis kenangan sambil menikmati gema hentakan buah mahjung.

Tiap watak Lindo Jong (Tsai Chin), Ying-Ying St. Clair (France Nuyen), An-Mei Hsu (Lisa Lu) dan Suyuan Woo (Kieu Chinh) sering bertemu di meja mahjung.

Cerita-cerita penderitaan di China dikisahkan bukan sekadar sejarah diri, tetapi berkongsi masa lalu dan mendidik anak-anak menghargai asal-usul budaya serta keturunan mereka sebagai orang Cina.

"TJCL" arahan Wayne Wang sangat halus sinemanya. Berbanding filem "T&L" arahan Ridley Scott yang pesimis, anti lelaki dan sangat brutal serta tragik.

"T&L" yang dibintangi dua pelakon A-List Hollywood – Thelma (Geena Davis) dan Louise (Susan Sarandon) turut mencipta sejarah.

Ini filem pertama dalam pencalonan Akademi dengan dua bintang utama daripada filem yang sama dicalonkan sebagai Aktres Terbaik.

Ridley Scott turut dicalonkan Pengarah Terbaik.

Itu dunia sinema Hollywood dengan tema feminisme yang ekstrim pada tiga dekad lalu.

Pada era terkini, naratif wanita dalam filem sudah berubah. Indonesia turut mendahului apabila sekuel novel "Trinity, The Naked Traveller" (TTNT) turut difilemkan.

Filem ini temanya sangat remaja. Kisah perjalanan gadis bernama Trinity (Maudy Ayunda) yang mengembara mencari dirinya dari kota ke kota di seluruh Indonesia.

"TTNT" arahan Rizal Montavani; diangkat dari novel "The Nekad Traveler". Watak Trinity adalah kisah penulisnya sendiri, Trinity (Ade Perucha Hutagol).

Di Indonesia, lapan buah novel sekuel Trinity dianggap novel kembara paling prolifik dan terpopular.

Trinity menghasilkan 15 buku pengembaraan dan tersenarai sebagai jualan paling laris di Indonesia.

Sekalipun dalam genre remaja, novel-novelnya mengaspirasikan; mewakili jiwa generasi gadis urban Indonesia masa kini.

"TTNT" catatan kembara solo yang berpaksikan kecekalan diri serta kecekapan komunikasi wataknya dalam mengenal kepelbagaian rumpun budaya bangsa Indonesia.

Romannya juga indah. Kisah patah hati seorang gadis yang dilukakan kecuurangan cinta serta tumbuhnya cinta baharu dalam pengembaraannya.

Novel ke filem dalam nuansa sosial

Kenapa novel dan filem serta tema wanita yang menjadi kosa bicara "Bukan Wanita Biasa" bahagian ketiga?

Ada sebabnya. Kali ini, cerpenis dan novelis Siti Jasmina Ibrahim akan mengemukakan pandangannya mengenai pelbagai isu yang dikaitkan dengan wanita dan feminisme.

Siapa Siti Jasmina Ibrahim?

Lahir 3 April 1976 di Kuala Lumpur. Lulusan Universiti Putra Malaysia ini aktif sebagai penulis skrip drama TV dan teater. Selain seorang novelis, cerpenis, penulis lirik dan penyair.

Melengkapi siri akhir "Bukan Wanita Biasa", Jasmina menjawab dengan terang dan tegas pendiriannya dalam isu mengaitkan penulis wanita dan idealisme feminis.

Serta pendangan sinisnya terhadap demografi sastera yang semakin kehilangan audien serta keperluan mengadaptasi medium bacaan ke platform digital.

Berbeza dengan Dr Mawar Safei dan Hafizah Isfahani – Siti Jasmina mengakui, dirinya dipengaruhi naratif gender ketika menulis.

Siti Jasmina juga menyentuh citra wanita dalam layar visual tempatan.

Saya terima wujudnya feminisme

JASMINA: Setiap kali saya menulis, saya berfikir sebagai penulis. Alienisasi daripada aspek gender pada laras pertamanya.

Saya terima wujudnya gender dan nilai feminisme di kalangan penulis Malaysia khususnya; juga saya secara peribadi.

Semua ini wujud dan berlaku secara positif. Malah, memberi warna kepada perkembangan dan hasil pengkaryaan dalam kalangan penulis dan landskap sastera nasional.

Feminisme yang terdapat di Malaysia tidak secara total sama dengan yang dianuti di Barat. Ini mesti difahami.

Malah, saya percaya feminisme berlaku tetapi bukan hanya datang daripada penulis wanita sahaja.

Aliran ini boleh muncul dalam teks penulis lelaki tanpa perlu meletakkan secara khas dan penuh syak sebagai satu masalah gender.

Penulis lelaki juga menyerapkan nilai feminisme dalam karya. Cuma, selalunya yang diperkatakan feminisme lebih menjurus kepada penulis wanita. Malah, satu persepsi total yang tidak adil.

Seperti wanita menulis tentang dunia lelaki, ia satu persepsi bertentangan gender. Sama juga sebaliknya.

Contohnya, karya Sasterawan Negara Noordin Hassan. Watak wanita dalam karyanya mengangkat nilai feminisme berdasarkan perspektif Islam.

Adalah janggal apabila feminisme diragui sebagai milik penulis wanita dan dicurigai tanpa sebab.

Wujud jurang antara masyarakat dan sastera

JASMINA: Ya. Jurang penghargaan dan minat di kalangan masyarakat terhadap sastera memang wujud.

Ini realiti. Satu refleksi terhadap kandungan sastera, terutama pada zaman dan kepelbagaian fenomena teknologi yang meluas hari ini.

Sastera berada dalam keadaan sangat survival, ketika bersaing dan pada masa yang sama mengajak dan cuba menarik minat khalayak.

Kita ditanya soal normal baharu dan impaknya. Pada hal ketika normal biasa dahulu pun, penulis dan penerbit khususnya sudah berdepan cabaran membina khalayak.

Kita masih tidak menemukan resepi dan cara yang berkesan untuk membawa kandungan sastera menjadi lebih dekat di hati masyarakat.

Sekarang realitinya tentu lebih mencabar. Kita berdepan zaman normal baharu, terutama ketika dan pasca COVID-19 nanti.

Pilihan masyarakat semakin bersifat personal di hujung jari. Pilihan kandungan sangat meluas di pelbagai platform dan aplikasi.

Lebih teruk, sastera pula semakin jauh daripada proses promosi dan hebahan secara interaksi dua hala. Terutama kelemahan bersaing di platform digital.

Sastera akan terus berdepan cabaran sukar dan akan terus berdepan kehilangan khalayak sekiranya kekal pada tahap sekarang.

Agenda sastera perlu berubah terutama strategi persaingan promosi kandungannya.

Kritik politik tema popular

JASMINA: Kritikan politik memang tema dan pemikiran popular dan menjadi pilihan penulis.

Politik dapat disentuh secara terang dan jelas. Politik juga boleh disentuh secara halus atau
berkias dalam pengkisahan dan karya.

Selalu akan ada soalan: apakah politik menjadi sumber utama dalam karya?

Ya. Saya percaya ia ada dan benar berlaku. Sama ada secara sedar atau secara sub-conscious. Penulis memang menulis budaya politik itu sendiri sekali pun ia bukan kisah berteraskan politik per se.

Penulis wanita juga tidak terkecuali dan sekiranya dikaji secara teliti, walaupun subjek penulis wanita menyentuh dunia wanita atau soal keluarga, itu kisah secara luarannya.

Namun, melalui sub-teks yang wujud dalam cerita, ia tetap melibatkan perihal kritikan politik sebenarnya.

Sekiranya kita hanya melihat secara luaran penceritaan, maka pandangan akan ada bias. Orang menganggap penulis wanita tidak berperanan secara aktif dalam kritikan politik.

Padahal, penulis wanita memilih kritikan politik melalui pelbagai sumber utama yang lain. Terutama pengkaryaan melalui tema wanita, keluarga dan masyarakat.

Hanya orang yang punya ketajaman politik sahaja yang dapat mengesan naratif politik secara kreatif yang diungkapkan penulis wanita.

Kita akan dibentuk normal baharu

JASMINA: Normal baharu akan membentuk budaya hidup masyarakat akan datang. Semua ini bukan baharu.

Normal baharu sentiasa berlaku. Kita manusia dan masyarakatnya sentiasa bermobilisasi.

Perjalanan sifat manusia itu sama secara sewarjagat. Penulis sentiasa merakamkan sifat manusia dan cara pemikiran serta kehidupan mereka.

Karya kreatif sentiasa menjadikan kehidupan manusia sebagai sumber dalam penceritaan mereka.

Dalam bentuk apa pun dan pada zaman mana pun, perkara ini tetap wujud dan setiasa berlaku. Ia pengulangan tanpa henti kerana dunia sentiasa menuju normal baharu.

Hanya kaedah fizikal luaran serta rangka latar cerita sahaja yang menciptakan perbezaan. Cara penyusunan cerita pasti pelbagai, namun pengisian sifatnya tetap sama.

Sumber bahan juga akan berbeza. Mengikut tahap pemikiran dan terbahagi kepada dua tahap. Iaitu, sama ada yang mengejar nilai baharu secara konsep fizikal, atau yang mahukan pemikiran baharu dilahirkan melalui idea itu sendiri.

Bagi yang mahu membawa pemikiran tradisi ke dalam penceritaan baru, ia akan menghasilkan karya tradisi dengan latar budaya baru.

Normal baharu bukan perkara baharu. Ia realiti kerana manusia bermobilisasi.

Wanita dalam sinema Malaysia

Dalam dunia penulisan lakon TV, lakon layar dan lakon pentas, watak wanita mempunyai kepentingan yang dominan.

Bukan hanya sebagai mekanisme untuk menyampaikan dan memberi citra tentang feminisme. Sebaliknya, berfungsi mempelbagaikan aliran pemikiran dan kritikan sesuai dengan tema cerita.

Ini pentingnya pemikiran wanita yang disampaikan melalui naratif visual. Penulis skrip tidak mengikut gender tetapi menulis melalui sudut pandangan.

Tujuannnya jelas; secara estetik penulis mahu mempelbagaikan pengisian dengan menggunakan bahasa visual.

Siti Jasmina punya pengalaman hampir 20 tahun menulis skrip. Bekerja dengan idea dan pelbagai tema cerita di semua stesen TV nasional.

Saya selalu berharap sekiranya Salina dibawa ke sinema, Siti Jasmina diberi peluang memindahkan naratif terhebat A Samad Said ke layar lebar.

Salina akan lebih hidup di tangan Siti Jasmina sebagai watak yang paling legenda dalam novel Malaysia.

Salina pastinya lebih difahami seorang penulis skrip wanita yang percaya pada keterbukaan gender dalam meluaskan estetika layar lebar.