KKM bakal tambah makmal pengesanan COVID-19 di Johor

Makmal itu adalah tambahan kepada fasiliti makmal sedia ada untuk melakukan ujian pengesanan COVID-19. – Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan akan menambah makmal pengesanan COVID-19 baharu di Johor sebagai langkah kesiapsiagaan dan usaha mengekang penularan wabak itu di negeri ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata makmal itu adalah tambahan kepada fasiliti makmal sedia ada untuk melakukan ujian pengesanan COVID-19.

Setakat ini, Johor mempunyai dua makmal COVID-19 iaitu makmal Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru.

"Untuk makmal, kita sentiasa bersedia malah akan menyediakan makmal baharu 'fast track' selain akan bekerjasama dengan makmal pihak swasta untuk kita membuat saringan dan juga ujian supaya kita dapat membuat keputusan yang cepat dan tepat," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, pada Sabtu.

Berhubung kapasiti penggunaan katil hospital kerajaan yang digazetkan sebagai hospital rawatan COVID-19 di Johor pula, beliau berkata kadar penggunaannya kini sebanyak 52 peratus.

Tiga hospital yang digazetkan sebagai hospital COVID-19 di negeri ini iaitu HSA, Hospital Permai dan Hospital Encha'Besar Hajjah Khalsom, Kluang, kini mempunyai kapasiti katil sebanyak 666 buah, katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata sejak Singapura melaksanakan langkah "pemutus litar" wabak COVID-19 mulai Selasa lepas, bilangan pekerja Malaysia yang telah pulang dari republik itu melalui dua pintu masuk negeri ini telah menunjukkan trend penurunan.

"Semasa fasa pertama pelaksanaan PKP di negara ini, dianggarkan seramai 1,400 rakyat Malaysia pulang melalui BSI sehari dan seramai 700 orang sehari pulang menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah, Iskandar Puteri.

"Apabila memasuki fasa kedua, jumlah itu meningkat kepada 2,000 orang di BSI dan 1,000 (KSAB) tetapi menunjukkan trend penurunan setelah Singapura mengadakan langkah circuit breaker (pemutus litar)," katanya.

— BERNAMA