Kepentingan prinsip ketelusan urus tadbir berhadapan pandemik COVID-19

WHO melihat kes COVID-19 di Malaysia akan meningkat pada pertengahan bulan April 2020, yang boleh menyebabkan PKP akan dilanjutkan serta kedudukan ekonomi rakyat kian terjejas. – Gambar hiasan

PADA 6 April 2020, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin telah membentangkan Pakej Prihatin Tambahan berjumlah RM10 bilion untuk Peniaga Kecil Sederhana (PKS) dan menjamin pekerjaan selama tiga bulan.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga memberi jaminan perbelanjaan berhemah sentiasa telus berdasarkan peruntukan perlembagaan persekutuan dan undang-undang. Kementerian Kewangan menubuhkan unit LAKSANA yang akan memantau dan melaporkan kesemua pelaksanaan insentif kepada menteri kewangan dan perdana menteri. 

Namun, jaminan yang diberikan kerajaan memerlukan penelitian yang serius, telus dan terbuka daripada institusi yang boleh menilai keputusan kerajaan.

Meskipun kepantasan melaksanakan sesuatu insentif diperlukan ketika ini, namun ia juga akan terdedah dengan isu integriti dan salah guna kuasa yang menguntungkan beberapa pihak, terutama sekali apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dua minggu lagi. Seperti COVID-19, rasuah dan ketirisan tidak mengenal mangsa dan memberi kesan kepada semua orang tidak mengira kelas ekonomi, etnik dan agama.

Transparency International menyatakan mekanisme semak dan imbang menjadi lebih penting ketika kerajaan menguruskan krisis COVID-19 agar tidak berlaku salah guna kuasa. Pihak berkuasa tidak boleh melakukan sesuatu di luar batasan kuasa yang telah diperuntukkan undang-undang. Sebarang jenayah rasuah ketika krisis perlu dibendung bagi memastikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dapat dicapai.

Setiap perancangan kerajaan melawan COVID-19 perlu berhadapan dengan ujian semak dan imbang. Ia merupakan satu kaedah untuk memastikan setiap program dan inisiatif yang diperkenalkan dapat memberi manfaat kepada rakyat. Namun, di Malaysia, fungsi institutsi yang berperanan sebagai semak dan imbang ini seolah-olah tidak berfungsi semasa tempoh PKP sama ada di peringkat persekutuan dan negeri.

Perdana Menteri telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi akan dibawa ke parlimen dalam bentuk belanjawan tambahan untuk diluluskan di parlimen. Namun, parlimen bukan hanya berperanan untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi sahaja, tetapi ia melibatkan penglibatan ahli parlimen untuk menyemak perancangan urus tadbir kerajaan membelanjakan dana awam ketika COVID-19.

Pendekatan melewatkan persidangan parlimen khas akan memberi beberapa implikasi yang melengahkan kerjasama kerajaan dan wakil rakyat mencari keputusan untuk mengatasi krisis ekonomi dan kesihatan negara lebih awal. Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia akan menguncup kepada -2.0 hingga 0.5 peratus akibat pandemik COVID-19. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melihat kes COVID-19 di Malaysia akan meningkat pada pertengahan bulan April 2020, yang boleh menyebabkan PKP akan dilanjutkan serta kedudukan ekonomi rakyat kian terjejas.

Oleh sebab itu, unjuran daripada WHO dan BNM perlu menjadi faktor utama mengapa parlimen Malaysia perlu segera membahaskan perancangan kerajaan untuk tempoh jangka masa yang panjang, khususnya usaha menyelamatkan dan mencipta pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan kebajikan rakyat bersama wakil rakyat di parlimen. Perancangan ekonomi kerajaan tidak boleh hanya menumpukan usaha menyelesaikan isu ekonomi dan kesihatan pada waktu pandemik COVID-19, tetapi ia perlu melangkaui jaminan ekonomi selepas PKP dilanjutkan selama dua minggu lagi dan situasi ekonomi pasca COVID-19.

Selain daripada semak dan imbang, ketelusan memberi informasi yang terperinci merupakan aspek penting dalam waktu krisis ini. Perkongsian maklumat ketika ini bukan sekadar infografik semata-mata, tetapi data yang mempunyai kualiti, komprehensif dan terkini. Namun, isu akses kepada data terperinci COVID-19 daripada kerajaan persekutuan masih terhad ketika ini. Perkara ini telah dibangkitkan olehh Dr. Dzulkefli Ahmad, bekas menteri kesihatan apabila pihak Kementerian Kesihatan tidak berkongsi data klinikal COVID-19 dengan agensi kerajaan negeri.

Tanpa akses data terbuka, maka ia menyukarkan pihak kerajaan negeri untuk melakukan pengesanan pesakit dan ujian saringan secara mikro.  Sebaiknya, kerajaan persekutuan perlu mengamalkan ‘pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat’ yang dianjurkan oleh WHO untuk berkongsi maklumat, khususnya kepada pihak berkuasa negeri.

Memandangkan parlimen akan bersidang sebulan lagi, terdapat beberapa langkah efektif yang boleh digunakan untuk mengukur ketelusan kerajaan dalam membelanjakan dana awam dan memberikan data yang terbuka. Kerajaan persekutuan perlu mengeluarkan laporan perbelanjaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020 kepada orang awam. Unit LAKSANA boleh menghasilkan laporan ini uuntuk pengetahuan orang awam, bukan kepada jemaah menteri dan perdana menteri sahaja.

Laporan ini perlu memberi maklumat jelas tentang jumlah dana Prihatin 2020  yang telah dibelanjakan oleh kerajaan, pendekatan yang digunakan dan senarai syarikat atau pemilik yang telah mendapat manfaat kontrak kerajaan untuk menyediakan kemudahan kesihatan. Kajian impak perlu diberikan tumpuan dalam laporan ini sebagai analisa awal pakej rangsangan ekonomi bagi merencana perancangan jangka panjang sebelum dibahaskan di parlimen.

Peranan agensi kerajaan seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) perlu menjadi institusi yang menyemak, memantau dan melaporkan pengurusan perbelanjaan kerajaan persekutuan dan negeri ketika COVID-19. GIACC bersama Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memberi jaminan bahawa tiada unsur ketirisan dan salah guna kuasa berlaku ke atas dana awam yang dibelanjakan kerajaan.

Rakyat dan pemimpin negara tidak boleh berkompromi dengan isu ketirisan dan salah guna kuasa atau maklumat ketika ini. Tanpa keterbukaan, ketelusan dan akses maklumat yang komprhensif daripada perbelanjaan kerajaan boleh menimbulkan kesan negatif kepada ekonomi dan kesihatan, khususnya selepas PKP tamat.


* Fakhrurrazi Rashid ialah Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA).

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.