Ingkar PKP: Dua lelaki ditahan bersama dadah dan air ketum

Seorang lelaki ditahan bersama enam bungkusan air daun ketum ketika diperiksa pihak berkuasa dalam satu sekatan jalan raya di Alor Setar awal pagi ini. – Astro AWANI

ALOR SETAR: Dua lelaki bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah bakal meringkuk ke dalam penjara selepas ditahan bersama dadah dan air ketum, dalam satu operasi sekatan jalan raya awal pagi ini.

Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar, di sini, melibatkan seorang lelaki berusia 28 tahun yang memberi alasan keluar rumah kerana mahu berjumpa anaknya di Pendang.

Namun, sebaik diperiksa, pihak polis menemui sejumlah dadah pada suspek dalam pemeriksaan pada jam 1.30 pagi itu.

Manakala, seorang lagi lelaki ditahan kerana didapati membawa enam bungkusan air daun ketum, dipercayai untuk diedar di kawasan sekitar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata, kedua-dua lelaki ini diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39(a) 1 ADB 1952 dan Akta Racun 1952.

Jelasnya, dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, seramai 21 individu ditahan kerana ingkar perintah PKP dengan berada di luar rumah. 

Memasuki hari ke-20 pelbagai alasan diberikan mereka yang ingkar, antaranya termasuk keluar untuk membeli ubat, balik dari rumah kawan, malah ada yang memberi alasan tidak tahu kedai serbaneka 24 jam ditutup awal sejak PKP dilaksanakan.

Ketika operasi dilakukan, ada beberapa penunggang motosikal melarikan diri sebaik menyedari terdapat sekatan jalan di kawasan itu.

Menurut Mohd Rozi, kesemua yang ditahan berusia antara 22 dan 48 tahun.

Katanya, daripada jumlah yang ditahan, tiga merupakan warga asing iaitu dua dari Pakistan dan seorang dari Myanmar.

Mohd Rozi berkata, kesemua 21 orang yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 11 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.