Grab sambut baik usaha bantu usahawan mikro menjelang Ramadan

Grab kini aktif berbincang dengan majlis-majlis tempatan lain mengenai kemungkinan mendigitalkan peniaga bazar Ramadan tempatan untuk melindungi pendapatan usahawan-usahawan mikro ini. – Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Syarikat penghantaran Grab Malaysia menyambut baik kerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Wilayah Persekutuan dalam menyediakan perkhidmatan juadah bazar Ramadan.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh dalam satu kenyataan media berkata terdapat dua inisiatif untuk membawa semangat Ramadan ke rumah rakyat Malaysia sambil menyokong perniagaan kecil dan usahawan mikro.

“Grab kini bekerjasama dengan pelbagai pilihan rakan restoran bagi mengaturkan menu kegemaran Ramadan supaya boleh didapati di GrabFood tepat pada masanya apabila bulan puasa bermula.

“Grab juga pada masa sama mengalu-alukan penjual di laman sosial dan usahawan mikro berpangkalan di rumah di seluruh Malaysia untuk menggunakan rangkaian rakan penghantar bagi membantu mereka memberi perkhidmatan secara lebih mudah dan cekap,” menurut Goh.

Grab kini aktif berbincang dengan majlis-majlis tempatan lain mengenai kemungkinan mendigitalkan peniaga bazar Ramadan tempatan untuk melindungi pendapatan usahawan-usahawan mikro ini.

“Setiap tahun, usahawan mikro dan penjual di laman sosial mengharapkan musim ini sebagai tempoh yang paling sibuk dan mengambil bahagian dalam Bazar Ramadan di kawasan kejiranan mereka, mengadakan gerai 'pop-up' di seluruh bandar-bandar kita.

"Tetapi tanpa kehadiran fizikal, mereka mungkin tidak dapat menghasilkan jualan yang sama seperti sebelumnya.

"Oleh itu, kami mahu menyokong dan menggalak mereka untuk mengguna khidmat pembayaran tanpa tunai serta mengembangkan jangkauan mereka kepada jutaan pengguna Grab melalui perkhidmatan dalam ekosistem kami.

"Antaranya dengan menggunakan GrabPay, GrabFood dan GrabExpress untuk membantu mereka menguruskan penghantaran barang mereka, sama ada kegemaran bazar, kuih-muih atau pakaian Hari Raya,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, Grab mengumumkan mulai hari ini, rakyat Malaysia boleh menikmati diskaun sehingga 30 peratus untuk keperluan perayaan apabila membeli-belah dalam talian menggunakan GrabPay dengan promosi Grab "Raya Deals Dari Rumah".

BACA: Kerajaan Selangor lancar E-Bazar Ramadan pertama, Grab sebagai penghantar