Geran penyelidikan khas RM20,000 untuk pensyarah pasca COVID-19

KPT mempunyai sumber tenaga akademik serta penyelidik berjumlah hampir 22,000 orang. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menawarkan geran penyelidikan khas untuk dibida, terbuka kepada semua pensyarah universiti awam dan institut pengajian tinggi swasta.

Ia bagi menjalankan penyelidikan terhadap bidang-bidang kritikal yang dikenal pasti berkait rapat dengan masyarakat, dalam menghadapi keadaan pasca COVID-19.

"Penawaran geran penyelidikan yang bersifat jangka pendek ini adalah usaha KPT dalam menyediakan sumber rujukan kepada kerajaan.

"Ia terutamanya kepada kementerian berkaitan, sebagai persediaan merangka polisi atau dasar dalam menghadapi senario kehidupan selepas wabak COVID-19," kata KPT dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, KPT mempunyai sumber tenaga akademik serta penyelidik berjumlah hampir 22,000 orang.

Daripada jumlah itu, katanya, kira-kira 3,000 adalah pensyarah bertaraf Profesor dan sekitar 4,000 orang bertaraf Profesor Madya.

"Secara jelas, mereka dilihat dapat membantu negara memberikan idea untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi selain menghadapi kehidupan baru bagi mengelakkan wabak COVID-19 menular semula," katanya.

KPT menyediakan geran sekurang-kurangnya RM20,000 bagi setiap penyelidikan yang dijalankan, meliputi 20 bidang utama.

Ia bagi menyediakan masyarakat untuk mendepani realiti kehidupan selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini bagi menyekat penularan wabak COVID-19.

Bidang kajian penyelidikan termasuk kesan terhadap ekonomi, kesihatan awam, keselamatan, pelancongan, perdagangan, teknologi maklumat, pendidikan dan keselamatan makanan.

Setiap kertas cadangan penyelidikan boleh dibuat secara individu atau berkumpulan tidak melebihi tiga orang.

Permohonan geran penyelidikan khas ini akan dibuka mulai 15 April sehingga 30 April 2020, dengan tempoh masa kajian selama enam bulan.