COVID-19: Wujud kluster kes perjalanan ke Itali – KP Kesihatan

Masyarakat diingatkan memberi maklumat secara jujur jika mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, perjalanan ke luar Negara atau kehadiran ke perhimpunan berkaitan, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA : Masyarakat diingatkan memberi maklumat secara jujur jika mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, perjalanan ke luar negara atau kehadiran ke perhimpunan berkaitan, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya, ingatan itu berikutan wujud satu lagi kluster melibatkan mereka yang ada sejarah perjalanan ke Itali. 

"Sebagai contoh, daripada hasil siasatan yang telah dijalankan, terdapat satu kluster yang wujud daripada kes indeks positif COVID-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Itali (kes ke-1580).

"Setakat ini, daripada kluster tersebut 37 orang telah disahkan positif COVID-19, di mana terdapat lima (5) kes kematian (iaitu kes ke-1031, kes ke-1032, kes ke-1006, kes ke-2850 dan kes ke-2210), serta satu (1) kes kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Malah, kluster berkenaan telah melibatkan jangkitan sehingga generasi ketiga.
 
Sehingga 5 April 2020 jam 12 tengah hari, sebanyak 180 buah negara di seluruh dunia yang terjejas akibat jangkitan COVID-19.

Justeru, sememangnya terdapat risiko bagi kes-kes luar negara diimport COVID-19 ke dalam Negara dan mengakibatkan penularan di dalam negara.

Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan ditempatkan di stesen kuarantin yang telah disediakan. Di pintu masuk negara, mereka akan menjalani saringan kesihatan iaitu saringan demam dan gejala COVID-19.

"Ujian pengesanan COVID-19 akan dijalankan dan mereka akan dipantau selama 14 hari di stesen kuarantin tersebut.

 

"Sekiranya ada yang bergejala semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa atau ketika berada di stesen kuarantin, mereka akan dihantar ke hospital yang telah dikenalpasti untuk pemeriksaan dan rawatan," tambahnya.

Katanya lagi, mereka yang dikesan positif COVID-19 melalui ujian pengesanan sampel yang dijalankan, akan dirujuk ke hospital dikenalpasti untuk tujuan isolasi, pemeriksaan, rawatan dan pemantauan.

"Ini adalah untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19 kepada masyarakat dan seterusnya untuk membendung wabak COVID-19 di Malaysia," ujar beliau.