COVID-19: “Saya bukan wira, itu tak penting” – KP Kesihatan

Gelaran itu tidak penting bagi Dr Noor Hisham tetapi keutamaannya adalah memastikan perkhidmatan terbaik. – BERNAMA

PUTRAJAYA: "Ini bukan tentang saya, tetapi apa yang kita (rakyat) boleh lakukan bersama-sama untuk memerangi COVID-19," begitulah pendirian Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita apakah perasaannya apabila diberi gelaran sebagai 'wira negara' oleh warga Malaysia di media sosial kerana komitmennya dalam menangani krisis wabak COVID-19.

Katanya, gelaran itu tidak penting bagi dirinya tetapi keutamaannya adalah memastikan perkhidmatan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah yang terbaik demi rakyat dan negara.

"Pada saya tak penting (gelaran wira negara) tetapi apa yang penting adalah perkhidmatan kita (Kementerian Kesihatan)," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini pada Ahad..

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut menasihati orang ramai untuk mengikut nasihat dan kaedah yang digariskan KKM dalam mencegah daripada dijangkiti penyakit itu.

"Ikut garis panduan yang diberikan KKM. Jangan ikut yang tular di media sosial, berita palsu dan sebagainya, rujuk kepada talian ataupun laman sesawang KKM," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa video tular di media sosial yang kerap memberi 'tips' untuk mengelak daripada dijangkiti COVID-19.

— BERNAMA