COVID-19: Satu lagi kematian dicatat, jumlah terkini 35

Kes kematian terbaharu itu membabitkan seorang wanita warga tempatan berusia 57 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia.

KUALA LUMPUR: Satu lagi kematian akibat COVID-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 35 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kematian terbaharu itu membabitkan seorang wanita warga tempatan berusia 57 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia.

BACA: COVID-19: Malaysia rekod 7 lagi kematian, tertinggi dalam 24 jam

"Beliau telah mula bergejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Putrajaya pada 17 Mac 2020 dan kemudiannya ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

"Hasil ujian pengesahan COVID-19 telah didapati positif pada 18 Mac 2020. Kesihatan beliau merosot hari demi hari, dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 4.00 petang," kata Dr Noor Hisham melalui kemaskini di Facebook.

Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 2,470 kes, termasuk 150 kes baharu yang dilaporkan hari ini.