COVID-19: Pelarian Rohingya dikuarantin dalam bangsal di Bangladesh

Etnik Rohingya ini terpaksa tinggal bersesak di kem tahanan di Bangladesh, mencetuskan kebimbangan penularan wabak akan berlaku dengan pantas. – Foto ihsan Yussof Ali

ALOR SETAR: Hanya dikuarantin di dalam bangsal dan ditinggalkan tanpa pemeriksaan doktor.

Itu yang terjadi di Kem Tahanan Cox’s Bazar di Bangladesh apabila kerajaan negara itu mengenakan sekatan penuh di kawasan itu, yang menempatkan lebih sejuta pelarian Rohingya dari Myanmar, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Rohingya Kedah/Perlis, Yussof Ali, yang turut menyatakan kerajaan Bangladesh memberi amaran bahawa wabak berkenaan akan merebak dengan pantas.

Ini kerana, keadaan di kem berkenaan sesak dan padat, selain persekitarannya yang kurang bersih.

Malah, katanya, etnik Rohingya tersebut terpaksa tinggal bersesak dan ini mencetuskan kebimbangan penularan wabak itu akan berlaku dengan pantas.

"Bangsal baru buat, kalau di negara ini – Malaysia, Thailand atau Myanmar, itu tidak apa. Mereka ada barang sendiri.

"Tetapi ini di satu tempat kecil, dan sekarang sudah hampir 1.3 juta orang di sana. Mereka sudah tidak boleh kawal lagi.

"Saya takut ini semua terjadi. Kita kena bantu dari segi ubat-ubatan. Kena doa kepada Tuhan agar tidak terjadi apa-apa di sana," kata Yussof ketika ditemui di sini.

Jelasnya, kekurangan infrastruktur seperti tandas yang sempurna juga menjadi masalah di kem berkenaan.

Menurutnya, tiada sebarang aktiviti keluar masuk dibenarkan di kawasan itu sehingga keadaan semakin baik.

Yusof bimbang dengan tahap kesihatan dan makanan pelarian Rohingya ini selepas pasukan polis dan tentera mengadakan sekatan jalan raya di laluan utama, selain turut mengadakan rondaan sekitar kem.