COVID-19: NGO, sukarelawan pastikan sumbangan sampai kepada golongan sasar

Wakil gerakan sukarelawan MAB Official Team menyampaikan keropok udang serta kelengkapan topeng muka kepada wakil pelajar UKM. – Gambar MAB Official Team

KUALA LUMPUR: Kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama gerakan sukarelawan menjamin setiap sumbangan selamat sampai kepada golongan sasar.

Ketua Pegawai Eksekutif Boon Lee Food Industries Sdn Bhd (Boon Lee), Datuk Pang Kan Hong berkata ia sekali gus memastikan saluran penyampaian lancar seiring Prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan kerajaan.

“Sebagai usaha mengurangkan beban pelajar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sebagai syarikat pengeluar makanan halal menghantar hampir 1,000 pek makanan ke beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Inisiatif ini bukan baharu malah sebelum ini pernah kami menghantar bantuan makanan kepada golongan memerlukan sejak tahun 1972 lagi.

“Ini usaha dan kelaziman tradisi bantu membantu yang dilakukan rakyat sendiri apatah lagi ketika negara berdepan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Jumaat.

BACA: COVID-19: SOP tersusun jamin kejayaan NGO agih bantuan

BACA: PKP: Input NGO penting, bantu JKM selaraskan bantuan

Kan Hong menjelaskan, syarikatnya yang berpengkalan di Kamunting, Perak turut bekerjasama dengan NGO, Persatuan Kebajikan Kasih Sayang 'Ai Xin' Malaysia (Persatuan Aixin) dan gerakan sukarelawan, MAB Officials Team bagi tujuan ini.

"Melalui kerjasama dengan Persatuan Aixin dan MAB Officials Team, kami menghantar produk keropok udang ke wakil pelajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

"Sumbangan ini adalah tanda sokongan usaha dan keprihatinan kerajaan kepada golongan pelajar dan sebahagian dari usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Menurutnya, kerjasama pintar dengan NGO dan gerakan sukarelawan akan diteruskan kerana pengetahuan mereka terhadap golongan sasar yang memerlukan di seluruh negara.

Sementara itu, wakil gerakan sukarelawan MAB Official Team, Zeifry Ibrahim berkata kerjasama itu usaha berterusan pihaknya dalam memastikan golongan memerlukan terutama pelajar yang berjauhan dengan keluarga dibantu.

"Kami merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak yang sudi bekerjasama melalui sumbangan produk makanan sekali gus dapat memberi kelegaan kepada pelajar yang mematuhi PKP di asrama masing-masing.

"Pemilihan produk makanan juga diteliti kerana kami tak mahu pelajar dilambakkan dengan makanan tidak sihat.

"Selain makanan ringan, kami turut menghantar sumbangan seperti topeng muka serta cecair penyahkuman kepada pelajar dalam memastikan mereka mematuhi panduan kebersihan diri yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

Tambahnya, semua barangan dihantar melalui wakil-wakil mereka di setiap kawasan selain turut mengalu-alukan mana-mana syarikat korporat untuk bekerjasama dalam sumbangan kepada pelajar IPTA dan IPTS.

Mana-mana wakil syarikat korporat yang mahu menyumbangkan sumbangan juga boleh menghubungi gerakan sukarelawan MAB Officials Team, di talian 013-538 0174 (Muhammad Rahimin Ismail).