COVID-19: Muhyiddin adakan sidang video pantau perkembangan semasa

Muhyiddin luangkan masa selama 40 minit untuk mengadakan sidang video pantau perkembangan COVID-19. – Facebook

KUALA LUMPUR: Meskipun menjalani kuarantin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih memantau perkembangan terkini situasi COVID-19 di Malaysia.

Beliau sempat meluangkan masa selama 40 minit untuk mengadakan sidang video bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pada Khamis.

Antara yang dibincangkan mereka ialah mewujudkan kempen menggalakkan pemimpin memperkasa komuniti masing-masing bagi memastikan semua pihak dapat menjalankan tanggungjawab mengekang penularan COVID-19.

"Saya percaya kempen ini dapat mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi dan akhirnya akan meringankan beban petugas-petugas barisan hadapan (frontliners).

"Langkah ini juga sangat penting dalam merangka “exit plan” bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang juga merupakan kriteria terakhir yang mesti dipenuhi sebelum PKPB boleh ditamatkan.

"Kami turut berbincang mengenai proses penghantaran balik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang  disahkan negatif COVID-19.

"Saya telah mengarahkan supaya proses tersebut dipercepatkan bagi mengurangkan risiko penularan semula jangkitan COVID-19 dalam kalangan PATI yang berada di depot tahanan imigresen," kata beliau menerusi entri di Facebook.

Perdana Menteri turut menafikan dakwaan bahawa beliau menjalani rawatan kesihatan di Singapura.

"Saya ingin nyatakan dakwaan itu tidak benar sama sekali.

"Untuk makluman, saya sedang menjalani kuarantin di rumah saya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur," tambah beliau.

Pada 22 Mei lalu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Muhyiddin perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di kediamannya selepas seorang daripada pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca Kabinet disahkan positif COVID- 19.

Kenyataan itu turut memberitahu, ujian COVID-19 yang dijalankan mengesahkan beliau negatif daripada jangkitan itu.