COVID-19: Empat PBT Melaka sasar nyah cemar 1,233 kawasan

Melaka menyasarkan 1,233 kawasan untuk operasi nyah cemar bagi mengekang penularan wabak COVID-19 khususnya di kawasan tumpuan awam. -Gambar fail

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka melalui empat pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini menyasarkan 1,233 kawasan untuk operasi nyah cemar bagi mengekang penularan wabak COVID-19 khususnya di kawasan tumpuan awam.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata daripada jumlah itu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyasarkan 460 lokasi di kawasan pentadbirannya, Majlis Perbandaran Hang Tuah (MPHTJ) (256), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) (286) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) (231).

Beliau berkata daripada jumlah itu, MBMB telah melaksanakan operasi nyah cemar di 20 kawasan, MPHTJ (8), MPAG (28) dan MPJ (39) sejak 18 Mac hingga Selasa.

"Operasi nyah cemar itu dilakukan di tempat ibadat, taman permainan, pasar, klinik dan taman perumahan dan ia dilakukan secara berperingkat dan mengikut keperluan semasa bagi mengekang penularan wabak COVID-19," katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Abdul Ghafaar berkata hampir keseluruhan premis jualan makanan atau pasar raya di negeri ini mengikut arahan pengoperasian yang dikeluarkan PBT di negeri itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan setakat hari ini.

"Kita boleh anggarkan tahap pematuhan dari segi pengoperasian premis jualan di negeri ini amat tinggi iaitu 95 peratus. Mereka mematuhi waktu operasi yang telah ditetapkan iaitu sehingga 7 petang sepanjang PKP dilaksanakan," katanya.

— BERNAMA