COVID-19: 270 rakyat Malaysia masih terkandas di selatan Thailand

Dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19, bermula 23 Mac Thailand menutup semua sembilan pintu sempadannya dengan Malaysia sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan. – Foto AP

SONGKHLA: Seramai 270 rakyat Malaysia masih terkandas di selatan Thailand berikutan penutupan pintu sempadannya dengan Malaysia pada 23 Mac untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid berkata sehingga kini, seramai 433 rakyat Malaysia yang terkandas di selatan Thailand telah dibenarkan pulang ke tanah air.

"Kini, 270 orang lagi masih menunggu kelulusan daripada gabenor-gabenor di wilayah selatan.

"Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sentiasa berunding untuk mendapatkan kebenaran membawa pulang rakyat Malaysia dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.

Difahamkan mereka yang terkandas kini menumpang di rumah saudara-mara di selatan Thailand dan ada yang menumpang di tempat mereka tinggal sebelum ini.

Dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19, bermula 23 Mac Thailand menutup semua sembilan pintu sempadannya dengan Malaysia sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Di samping penutupan sembilan pintu sempadan melalui darat atau air Thailand-Malaysia, penutupan sempadan turut dilaksanakan di semua pintu sempadan Thailand dengan negara jiran lain iaitu Laos, Kemboja dan Myanmar.

Sementara itu, Muhammad Ridzuan turut menzahirkan penghargaan kepada syarikat-syarikat yang prihatin dengan menyampaikan sumbangan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di selatan Thailand.

"Sumbangan itu kami akan sampaikan kepada mereka yang terkandas di sini," katanya.

Antara yang telah menghulur sumbangan termasuk pengeluar produk makanan, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) Thailand.

— BERNAMA