COVID-19: 10 rakyat Malaysia antara kes baharu di Singapura

Warga Singapura memakai topeng penutup hidung semasa keluar membeli-belah. – Gambar fail

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura melaporkan 233 kes baharu COVID-19 termasuk 10 rakyat Malaysia.

Tujuh kluster baharu dikenalpasti dan menjadikan jumlahnya di republik ini 2,532 kes, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada lewat Ahad.

Seorang lelaki warga Malaysia berumur 25 tahun dikaitkan dengan sebuah restoran makanan segera, adalah antara kluster baharu yang dikenalpasti.

Syarikat penyedia makanan segera itu melaporkan bahawa lima daripada petugasnya didiagnosis COVID-19 dan mereka dari empat cawangan berbeza syarikat berkenaan, dua dari cawangan di LIDO dan masing-masing satu di Forum Galleria, Parklane dan Geylang East Central.

"Kami memandang serius perkara ini dan sedang mengawasinya dengan rapi, serta memberi sokongan dan bantuan kepada petugas yang terlibat agar mereka cepat sembuh," kata Pengarah Urusan syarikat berkenaan di Singapura menerusi satu kenyataan.

BACA: COVID-19: New York masih catat kematian tertinggi

Tiga rakyat Malaysia masih diletakkan di bawah kes tempatan yang tidak berkaitan; lima dikaitkan dengan kes 2215, iaitu seorang penduduk tetap Singapura dan satu dikaitkan dengan kes 2424, iaitu seorang warga Bangladesh.

Enam lagi kluster baharu termasuk di premis makanan Black Tap di Marina Bay Sands (MBS); tiga lagi pekerja asing di asrama, dua di kawasan pembinaan.

Sehingga hari ini, republik ini mencatatkan sejumlah 560 kes yang telah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan pulang dari hospital atau fisiliti pengasingan komuniti.

Daripada 976 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dan kebanyakan mereka dalam keadaan stabil dengan 31 daripada mereka berada dalam unit rawatan rapi.

MOH berkata, 988 kes secara klinikalnya baik tetapi masih positif COVID-19 dan diasingkan atau dirawat di fasiliti komuniti.

Jumlah kematian setakat ini akibat komplikasi COVID-19 ialah lapan orang. Sehingga tengah hari Ahad, MOH mengenapasti 28,140 kontak rapat yang dikuarantinkan. – BERNAMA