Baju Melayu ungu jadi kenangan terakhir

Tiga beradik yang dikhuatiri lemas, Umar Iskandar (kanan), Khairil Firdaus (dua, kiri) dan Khalif Naim (kiri) bersama bapa mereka Mohd Ismail, yang dirakam pada Aidilfitri baru-baru ini. –fotoBERNAMA

HULU TERENGGANU: Baju Melayu ungu menjadi hadiah dan kenangan terakhir seorang bapa sebelum ketiga-tiga anak lelakinya dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu, Kampung Kuala Telemong, di sini.

Menurut Mohd Ismail, sebelum raya, Umar Iskandar, 21 tahun, ada meminta dibelikan sepasang Baju Melayu untuk dipakai di hari raya.

Pada 1 Syawal lalu, anaknya itu juga ada meminta merakam gambar berpelukan mereka berempat di pagi raya.

Namun, pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu tidak menyangka ia menjadi kenangan terakhir bersama anak-anaknya itu.

"Hari raya pertama, dia minta gambar berpelukan tiga orang sekali, dengan saya. Jadi, ketika itu, kami empat orang berpegangan belaka.

"Kemudian, saya masih ingat dia ada memandang saya ketika saya sedang bercakap dengan sepupunya. Apabila saya turun ke sungai ini, pandangan itulah yang saya nampak. Pandangan itu ada kelainan daripada biasa," katanya.

Beliau ditemui di lokasi operasi pencarian tiga beradik itu yang dimulakan malam tadi.

Operasi melibatkan pencarian di permukaan air menggunakan bot, disertai 15 anggota polis, 18 anggota bomba dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam.

Menurut Mohd, dia hanya menyedari insiden yang menimpa anak-anaknya itu kira-kira pukul 7 malam tadi selepas penduduk kampung memintanya pergi ke sungai melihat barangan milik anaknya itu. 

BACA: Tiga beradik dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu 

Katanya, sebelum itu, kesemua mangsa ada memaklumkan kepada adik bongsu mereka hendak pergi ke sungai bagi membasuh kaki.

"Dalam pukul 7, orang cari saya di masjid, suruh saya pergi sungai. Saya tak sangka mereka mandi sungai, sebab saya memang larang keras anak-anak saya mandi di sungai.

"Saya tengok selipar (di sungai), sahlah ia milik anak saya tiga beradik itu," tambahnya.

Pada Rabu, tiga beradik itu dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Terengganu, yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka, kira-kira jam 6 petang.

Selain Umar Iskandar, dua mangsa lagi ialah Khairil Firdaus, 17 tahun, dan Khalif Naim, 16 tahun.